oleh Shahbudin Husin

Tempohari, di sebuah kedai makan yang selalu menjadi tumpuan ramai, semua mata tertumpu ke kaca televisyen yang diletakkan di beberapa sudut ruang makan restoran tersebut.

Semua meja didapati hampir penuh dengan orangramai bukan saja didapati mahu menjamu selera, tetapi juga ingin menyaksikan majlis angkat sumpah Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7.

Rata-rata kelihatan teruja dengan memberi tumpuan penuh terhadap majlis yang disiarkan secara langsung serta beberapa kali seolah-olah tertangguh itu.

Sebaik saja Tun Mahathir selesai mengangkat sumpah yang kemudian diikuti dengan bacaan doa, sekumpulan anak muda tiba-tiba bertepuk tangan dan menjerit kegembiraan kerana pemimpin yang selalu dihina disebabkan usia tuanya, dilemparkan kata-kata cercaan dikata “baling gelas pun tak pecah”, akhirnya kembali menduduki kerusi Perdana Menteri yang sudah dilepaskannya kira-kira 15 tahun sebelum ini.

Tepukan anak muda tersebut itu seterusnya diikuti sama oleh kebanyakan pengunjung di kedai makan itu sehingga ternampak ceria suasana di kedai makan itu.

Barangkali di tempat-tempat lain juga terdapat situasi yang sama di mana orangramai jelas secara terbuka menzahirkan kegembiraan atas kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan BN dan meraikan kembalinya Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Hakikatnya, dengan tumbangnya Najib Razak, UMNO serta BN serta kembalinya Tun Mahathir ke puncak kuasa sekali lagi, ia ibarat suatu kemerdekaan semula rakyat daripada segala kesengsaraan dan derita sejak bertahun-tahun sebelum ini.

Meskipun banyak faktor yang mungkin menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan seperti penghapusan GST, pengembalian subsidi dan menstabilkan harga minyak, tidak dapat dinafikan bahawa dua tunjang dalam menjayakan kemenangan bersejarah ini ialah keyakinan rakyat terhadap Tun Mahathir dan keinginan rakyat untuk melihat deretan skandal dalam negara, khususnya yang melibatkan Najib dapat disiasat, dibongkar dan dibawa ke muka pengadilan dengan kadar yang segera.

Daripada sekian banyak skandal itu, sudah pasti kes melibatkan 1MDB, kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadi Najib, Jho Low dan Rosmah Mansor adalah berada di senarai paling atas sekali.

Lebih daripada itu, janji untuk menyiasat dan membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dalam kerugian wang serta harga negara dalam skandal itu juga turut terkandung dalam janji 100 hari Pakatan Harapan setelah diberikan mandat untuk berkuasa.

Dengan itu, setelah kuasa dalam genggaman sekarang ini, rakyat tentu saja tidak sabar-sabar lagi mahu melihat semua pendurjana dan penelan wang negara itu dapat dibawa ke mahkamah dan seterusnya dijatuhkan hukuman.

Selain Najib, Rosmah dan Riza Aziz yang harus disiasat atas skandal tersebut, individu di belakang tabir 1MDB iaitu Jho Low yang disahkan oleh DOJ sebagai dalang utama penyelewengan dana beribu-ribu bilion wang negara, haruslah juga diambil tindakan yang sama.

Melalui apa juga cara dan saluran sekali pun, Jho Low harus dicari dan dibawa pulang ke Malaysia untuk menjawab pelbagai persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya dan keinginan rakyat untuk mengetahuinya.

Keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Tun Mahathir cukup tinggi sebenarnya. Ia adalah berdasarkan rekod lampaunya memimpin negara selama ini.

Namun, oleh kerana skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Jho Low dan diperkatakan ada kaitan dengan kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadi Najib telah menjadi antara bahan kempen utama PRU14, kerajaan baru Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir tidak harus melengah-lengahkan penyiasatan terhadap perkara itu.

Kepercayaan dan keyakinan rakyat pasti akan terus meningkat jika tindakan dapat diambil dengan kadar sesegera yang boleh, tentunya setelah Pakatan Harapan dan Tun Mahathir menyelesaikan beberapa isu pokok seperti pembentukan kabinet, pertukaran ketua-ketua agensi kerajaan seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM dan sebagainya, terhadap skandal mega 1MDB itu.

Sekarang adalah waktu yang sesuai untuk rakyat mengetahui kebenaran tentang wang RM2,600 juga itu. Jika benar ia adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi, Najib harus menunjukkan bukti-buktinya.

Selama ini bukan saja Najib bercakap berbagai versi mengenainya, pemimpin-pemimpin UMNO juga tidak sekata mengenainya. Cumanya, berdasarkan penyiasatan DOJ, mereka mendapati wang ke akaun peribadi Najib itu dimasukkan oleh Tanore Finance Corporation yang dipunyai oleh Eric Tan Kim Loong atau nama kedua bagi Jho Low.

Maka, penyiasatan harus dilakukan agar kebenaran tidak terus disembunyikan.

Dalam waktu yang sama, kerajaan baru ini juga harus mengawal semua pintu keluar mulai sekarang untuk mengelakkan – manalah tahu – kalau-kalau ada antara nama yang mahu disiasat itu mengambil tindakan cuba melarikan diri ke luar negara dan mencari perlindungan politik untuk menyelamatkan diri mereka.

Berani buat, berani tanggung dan mereka yang terlibat itu mesti berdepan pengadilan dan dihadapkan ke mahkamah terlebih dahulu agar segala salah laku mereka yang merosakkan negara dapat menjadi pengajaran kepada kita semua.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Rencana adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian MalaysianReview.

KLIK TERKINI: Dzulkifli Ahmad letak jawatan KP SPRM

KLIK BACA: Nik Omar disebut-sebut dilantik menteri kabinet bidang agama

KLIK TERKINI: Kerajaan Tun M digesa siasat semula Scorpene dan Razak Baginda

KLIK BACA: Pascal rayu PM Dr Mahathir bantu kes pembunuhan bapanya Hussain Najadi

KLIK BACA: PM Tun Mahathir mesti segera bawa balik Jho Low

KLIK BACA: AG kena ‘bullshit’ dengan PM Mahathir, takkan tak faham-faham lagi?

KLIK BACA: Disekat keluar – Najib bercuti dalam negara, tak pernah dengar? – Ana Ghoib

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share