Penganalisis politik Shahbudin Husin mengulas pujian Annuar Musa terhadap Najib yang mengaitkan Perdana Menteri sebelumnya juga watak karismatik Anwar kecuali Dr Mahathir. – Foto ihsan FMT

oleh Shahbudin Husin

“Najib seolah-olah mewarisi kesabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi, karisma Anwar Ibrahim, ketegasan Tun Hussein Onn dan kelicikan serta kebijaksanaan ayahandanya, Tun Razak.”

Wahhh…baik punya bodek dan ampu oleh Annuar Musa kali ini!!

Ada dua aspek boleh dilihat dalam kenyataan Ketua Penerangan UMNO yang tidak lama sebelum ini telah dibebaskan daripada dakwaan skandal melibatkan MARA dan Pasukan Bolasepak Kelantan.

Pertama, ini adalah ampu dan bodek biasa menjelang PRU 14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Adalah perkara biasa dalam UMNO, terutamanya menjelang pilihanraya, mereka yang berharap untuk menjadi calon dan jika berpeluang berjumpa, bercakap, berucap atau mengeluarkan kenyataan berkaitan Perdana Menteri, nada mengampu dan membodeknya memang cukup menarik dan ada berbagai cara.

Bagi Annuar, selain mengharapkan agar terus dipilih sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh, ampuan dan bodekan kali ini barangkali juga mengharapkan supaya diberikan apa-apa jawatan lain dalam kerajaan.

Selepas tidak disambung khidmatnya sebagai Pengerusi MARA, Annuar tiada sebarang jawatan lagi dalam kerajaan atau mana-mana entiti berkaitan kerajaan, manakala jawatan Ketua Penerangan UMNO hanyalah jawatan politik semata-mata.

Bagi orang politik, meskipun pernah menjadi menteri sebelumnya, diberikan apa-apa jawatan lain dengan elaun puluhan ribu, ada pejabat, ada kereta rasmi, ada sekretari dan macam-macam kemudahan lainnya, ia adalah suatu kebanggaan bagi mereka.

Jadi, dengan Annuar yang masih memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO, disertai pula dengan ampuan serta bodekan yang sudah banyak kali dan terbaru ini, apa agaknya jawatan yang sesuai untuk Najib berikan kepadanya?

Tunggguuu….

Kedua, dalam kenyataan yang sama memperlihatkan buat pertama kalinya Annuar mengakui bahawa Anwar Ibrahim memiliki karisma yang tinggi dan lebih baik berbanding Najib sendiri, meskipun Ketua Umum Pakatan Harapan itu masih berada di penjara dan pencapaiannya setakat ini hanya sebagai Timbalan Perdana Menteri saja.

Biasanya, apabila membandingkan kebolehan atau kemampuan seseorang, lebih-lebih lagi yang sedang memegang jawatan Perdana Menteri, perbandingannya mestilah dengan mereka yang lebih tinggi atau setidak-tidaknya pernah menjadi Perdana Menteri juga.

Tetapi, dengan Annuar mengatakan Najib memiliki karisma seperti Anwar Ibrahim, gambarannya ialah karisma Anwar lebih tinggi daripada Najib dan meskipun Najib kini menjadi Perdana Menteri, karismanya tidaklah melebihi Anwar yang jawatan terakhirnya hanya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ia contohnya umpama mengatakan Salleh Said Keruak yang sekarang menjadi menteri memiliki karisma seperti Ahmad Maslan yang hanya berkedudukan timbalan menteri.

Tidakkah ia ternampak pelik?

Dengan sendirinya, perbandingan Annuar itu merupakan suatu pujian dan sudah tentu membuatkan Anwar tersenyum membacanya, tetapi ia juga seperti suatu perlekehan kepada Najib sendiri.

Dalam waktu yang sama, perbandingan Annuar mengenai beberapa ciri Najib yang tidak memasukkan nama Tun Mahathir Mohamad di dalamnya, tidaklah sukar difahami maksud dan tujuannya.

Walaupun ia ternampak sebagai percubaan Annuar untuk memperlihatkan Tun Mahathir tidak memiliki sebarang kelebihan, namun seluruh dunia tahu dan mengakui Tun Mahathirlah yang banyak mengubah corak dan wajah Malaysia ini.

Oleh yang demikian, Tun Mahathir pun barangkali tidak selesa dan “berasa geli” jika ada ciri-ciri tertentu dalam kepimpinannya yang cemerlang selama 22 tahun dan diakui dunia itu, tetapi cuba disamakan dengan Najib yang disebut media antarabangsa dan dunia lain mengamalkan “kepimpinan kleptokrasi”.

Terima kasihlah kepada Annuar kerana secara tidak langsung masih menghargai Tun Mahathir dan meletakkannya dalam “kelas tersendiri” yang terpisah daripada “kekotoran” Najib. – ShahbudinHusin

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Rencana pertama kali disiarkan di blognya adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian MalaysianReview.

KLIK BACA: Dr Mahathir – Malu PM tua, tapi tak malu PM ‘pencuri’

KLIK BACA: Rafidah pinjam ayat Najib “meroyan kepala bapa mereka”.

KLIK BACA: Jho Low beli Equanimity guna duit 1MDB bukan Berita Palsu Okay!

KLIK BACA: GST: ‘Hanya orang bodoh je tak marah’, kata Hanipa

KLIK BACA: Dr Mahathir – Inilah warisan peninggalan Najib

KLIK BACA: Kalau undang2 berita palsu sudah ada, Najiblah orang pertama yang patut didakwa!!! – Shahbudin Husin

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share