Sanusi Junid anak Kedah berketurunan melayu Aceh yang mencipta nama menjadi pemimpin di Malaysia. – Foto Aceh Tribunnews

oleh Shahbudin Husin

Pada hari Jumaat 9 Mac, 2018 negara dikejutkan dengan perginya bekas Menteri Besar Kedah, menteri kabinet, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas mengambil air sembahyang dan ketika sedang duduk menunggu masuknya waktu solat Subuh.

Secara ringkasnya, Allahyarham Sanusi bukan saja meninggal dunia pada hari Jumaat, tetapi juga dalam keadaan berwuduk dan ketika menanti untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba kepada Tuhannya.

Lebih daripada itu, beliau juga meninggal dunia ketika dalam perjuangan yang belum selesai untuk menyelamatkan negara ini.

Untuk itu, mudah-mudahan roh Allahyarham Sanusi ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh syurga sebagai balasannya.

Secara kebetulan, seminggu sebelum ini iaitu pada 2 Mac 2018 lalu, beliau telah menulis dalam blognya sebuah artikel yang agak panjang berkaitan politik negara menjelang PRU 14 akan datang.

Tulisan berkenaan adalah “buah tangannya” yang terakhir untuk tatapan kita bersama dalam menuju perubahan dalam negara ini.

Marilah kita hayati tulisan itu dan sama-sama berazam meneruskan perjuangan itu sehingga ke titik akhir, meskipun beliau tidak sempat menyaksikan hasilnya.

Juga, marilah kita sama-sama menyedekahkan Alfatihah kepada rohnya dan semoga semangat perjuangan dan buah fikirannya terus segar serta berguna untuk kita semua di masa hadapan.

oleh Tan Sri Sanusi Junid

KENAPAKAH UMNO PERLU DIKALAHKAN DI SABAH

Tajuk ini saya pilih berlandaskan faktor sejarah yang akan saya huraikan.

Tujuan Sabah dan Sarawak menyetujui untuk bersama dengan Semenanjung Tanah Melayu dalam sebuah negara Malaysia ialah untuk mencapai kemerdekaan.

Ternyata pemimpin-pemimpin Sarawak sekarang ini, sekurang-kurangnya dalam kenyataan-kenyataan akhbar, lebih merdeka dari pemimpin-pemimpin di Sabah. Kemerdekaan ini wujud kerana UMNO tidak ada di Sarawak dan pemimpin UMNO tidak memimpin Sarawak.

Pemimpin-pemimpin Sarawak juga, walaupun berada dalam cabinet, tidak nampak mengabdikan diri kepada pemimpin kerajaan pusat sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin Sabah, dari UMNO, yang ditugaskan untuk berbuat demikian.

Parti Bumiputra Bersatu di Sarawak ialah sebuah parti tempatan dan pemimpinnya, yang juga pemimpin kerajaan di Sarawak mewakili kepentingan dan memberi keutamaan kepada Sarawak kerana ianya bukan cawangan dari sebuah parti bersifat nasional seperti UMNO.

Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah, hanyalah seorang sahaja dari antara 12 orang pemimpin UMNO negeri, 11 darinya dari negeri dan wilayah di Semenanjung dan Labuan.

Begitu juga kedudukan dalam kabinet persekutuan. Menteri dari Sabah, yang lemah wataknya, lebih mewakili kerajaan pusat untuk mengikat Sabah dan bukan Menteri yang berani mewakili Sabah dalam kabinet persekutuan.

Keadaan ini berbeza dari keadaan di zaman Tun Dato’ Mustapha menjadi menteri pusat atau di waktu Dato’ Seri Shafie Apdal menjadi ahli kabinet.

Malahan kita tahu bahawa Dato’ Seri Shafie Apdal telah dipecat dalam usahanya menyelamatkan Malaysia dari belenggu hutang 1MDB dan bukan khusus kerana menimbulkan masalah di Sabah. Lain kedudukannya dengan Menteri dari parti-parti di Sarawak yang tidak merupakan cabang dari UMNO.

PAHLAWAN SILAM DI SABAH DAN SARAWAK

Walau pun di Sabah dan Sarawak sudah lama ada pahlawan, pejuang dan berbagai pergerakan yang menentang penjajahan sehingga ramai yang terkorban seperti Rosli Dhobi dan Awang Ramli, tetapi kebijakan pemimpin dan tokoh di ketiga wilayah ini untuk mencapai persetujuan bagi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu dengan cara bergabung dalam sebuah negara Malaysia bermula kerana keadaan politik di Indonesia dan Singapura di waktu itu.

KONSEP BUMIPUTERA DIKETENGAHKAN

Walaupun sebahagian besar dari penduduk Sabah dan Sarawak terdiri dari bukan Melayu dan bukan Islam, untuk menjadikan penubuhan Malaysia sebagai satu wadah yang tidak membimbangkan maka kalimat BUMIPUTERA telah dikeramatkan.

Dalam kalimat BUMIPUTERA terangkum suku Kaum Asli di Sabah dan Sarawak yang bukan Melayu dan bukan Islam atau beragama Kristian. Dalam kalimat BUMIPUTERA ini termasuk penduduk Sabah dan Sarawak yang berugama Islam tetapi terdiri dari kaum yang bukan Melayu.

Walaupun dalam negara Malaysia jumlah Melayu tidak lagi menjadi majoriti tetapi melalui kalimat BUMIPUTERA, besama dengan penduduk asli di Sabah dan Sarawak kita menjadi majoriti, atau sekurang-kurangnya BUMIPUTERA melebihi kaum China apabila Singapura digabungkan dalam Malaysia.

BRUNEI TERSELAMAT DARI BELENGGU KLEPTOKRASI

Di peringkat awal Brunei juga telah dirancangkan untuk turut sama bergabung dalam Malaysia. Tetapi, oleh kerana kebijaksanaan pemimpin Brunei, khususnya Raja yang memerintah, Brunei telah tidak turut serta. Kebijaksanaan ini terserlah kini memandang Brunei terselamat dari kongkongan pemimpin kleptokratik di Malaysia masakini.

Jika Brunei turut serta dalam Malaysia sudah tentu nama Brunei tidak akan seharum namanya sekarang ini sebagai sebuah negara Melayu, Islam dan Beraja.

TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA MENGELUARKAN SINGAPURA DARI MALAYSIA

Apabila Singapura berada dalam Malaysia, fahaman sosialisma parti PAP telah menular sehingga menjadi ancaman kepada politik UMNO di Malaysia.

Lantaran itu Tunku Abdul Rahman Putera telah mengeluarkan Singapura dari Malaysia.

NEGERI YANG BERNASIB BAIK DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Jelas kelihatan sekarang ini dua buah negeri di Semenanjung yang sangat bernasib baik kerana diperintah oleh bukan UMNO/BN, iaitu negeri Selangor dan Pulau Pinang. Dua buah negeri ini, selain Sarawak di timur, mempunyai tabungan ‘reserve’ wang yang begitu banyak.

Seandainya UMNO/BN yang memerintah ketiga buah negeri ini sudah tentu nasib tabungan mereka akan terancam seperti terancamnya FELDA, LUTH, FELCRA, KWSP, KWAP, LTAT, MARA, PROTON, BNM, TANAH-TANAH BERHARGA DI KUALA LUMPUR dan LANGKAWI, GLCs dan lain-lain lagi.

TRENGGANU BERNASIB BAIK DAPAT SELAMATKAN TELAGA MINYAK MEREKA DARI GADAIAN

Trengganu bernasib baik kerana KDYMM Tuanku Sultan sempat menghalang konsesi minyak dilaut tidak dijadikan harta cagaran untuk pinjaman TIA (Trengganu Investment Authority) sehingga akhirnya nama TIA ditukar menjadi 1MDB dan hutangnya dijamin oleh Kerajaan Malaysia, yang akhirnya ditanggung oleh rakyat jelata.

NEGERI YANG PERNAH DIPERINTAH OLEH PAS

Walaupun Trengganu pernah sekejap diperintah oleh PAS tetapi dua buah negeri lain yang pernah diperintah oleh PAS ialah Kedah dan Kelantan, yang sehingga sekarang masih di bawah pemerintahan PAS.

PAS di Trengganu tidak begitu kuat, kerana tiada zakat padi, dan besar bergantung kepada karisma Dato’ Haji Hadi Awang.

TEORI 3 P

PAS di Kedah dan Kelantan, subur kerana banyaknya pondok yang biaya untuknya datang dari zakat yang dibayar kepada guru pondok oleh penanam padi. Padilah, yang pada mulanya menjadi sumber kewangan yang menyuburkan pertumbuhan sekolah ugama rakyat atau pun pondok (Teori 3 P = Padi, Pondok dan Pas).

Itulah sebabnya di kawasan yang ada padi saja wujudnya pondok di seluruh Semenanjung. Di kawasan-kawasan FELDA terdapat PAS yang benihnya telah menetas di sana di waktu Presiden PAS Dato’ Asri bin Haji Muda menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar di waktu PAS berada dalam Barisan Nasional.

UMNO tidak untung dengan menguasai negeri yang miskin seperti Kelantan dan Kedah.

LANGKAWI BAKAL MENJADI MANGSA JIKA BN MENANG (NA’UZUBILLAH)

Walau bagaimana pun, dengan jasa Tun Dr. Mahathir, Langkawi sudah menjadi kumpulan pulau yang sangat berharga. Maka ianya menjadi sasaran kleptokrat yang berhasrat menjadikannya pusat pelancongan berlandaskan maksiat seperti di Monaco. Di Monaco di dapati banyak pusat judi kasino, pelacuran. LGBT dan merupakan pusat pelancongan untuk selebriti dunia.

Langkawi juga boleh menjadi ‘second home’ bagi rakyat asing yang mampu membeli condominium yang mahal yang di luar kemampuan penduduk Langkawi dan Kedah untuk membelinya. Penghalang besar kepada tercapainya hasrat ini ialah Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

Walaubagaimana pun apabila Dato’ Seri Mukhriz dapat disingkir tokoh kleptokrat terhalang dari melaksanakan programnya kerana kuasa Istana yang anti judi. Tunku Abdul Rahman pernah meluluskan lesen kasino untuk diadakan di Langkawi Island Resort milik Low Yatt, pemilik Federal Hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Siap hotel dibina lesen kasino dipindahkan ke Genting Highland kerana bantahan KDYMM Tuanku Sultan, iaitu kekanda kepada Tunku Abdul Rahman sendiri.

ANCAMAN TERHADAP PULAU-PULAU SEPANJANG PANTAI DI KEDAH

Rancangan kasino ini mungkin boleh dilaksanakan jika Langkawi dikeluarkan dari Kedah sebagaimana Labuan dikeluarkan dari Sabah. Rakyat Kedah perlu sedar atas kemungkinan ini kerana 5 buah pulau sepanjang pantai Kedah, iaitu Pulau Bidan, Pulau Telor, Pulau Bunting, Pulau Songsong dan Pulau Payar adalah sasaran bagi pelabur bukan kita dari luar negara.

KETUA UMNO BAHAGIAN DI KELANTAN BERUNTUNG JIKA BN KALAH SEANDAINYA MEREKA TIDAK MENJADI CALON

Ketua-ketua UMNO Bahagian di Kelantan, jika tidak dibenarkan bertanding, atau tidak menang jika menjadi calon, lebih suka negerinya diperintah oleh PAS. Dengan demikian, perbelanjaan untuk kawasan-kawasan Parlimen akan disalurkan oleh Menteri Kerajaan Pusat, khususnya dengan pengaruh Menteri yang ramai berasal dari Kelantan, kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian.

Ketua UMNO Bahagian akan beruntung jika PAS memerintah Kelantan. Tetapi, dalam keadaan UMNO/BN besar kemungkinan akan kalah dalam PRU ke 14, maka satu sistem silap mata sedang diatur sesama UMNO/PAS kerana UMNO tidak mahu kalah lagi di Kelantan dan PAS juga ingin mengekalkan penguasaannya ke atas Kelantan.

Oleh kerana dana yang banyak diperlukan oleh PAS untuk bertanding dalam pilihanraya maka PAS, yang tidak menguasai mana-mana negeri untuk dijadikan sumber dana, terpaksa mencari dana dari sumber yang banyak wang, walaupun wang itu dari sumber hutang yang bertimbun yang kononnya derma halal dari sumber negara di mana terletaknya Kaabah.

Jika PAS di satu masa dulu sanggup menggadai tanah di Selatan Kelantan kepada Taukeh di Singapura untuk mendapat biaya pilihanraya, apatahlagi jika ada pihak yang sanggup bermain silap mata dengan PAS asalkan ada biaya untuk PRU ke 14.

Sekurang-kurangnya PAS boleh meletak calon untuk dikekahkan atau kalah ditempat yang PAKATAN HARAPAN bertanding supaya ada tempat untuk melarikan undi jika pengundi sudah muak untuk memangkah BN/UMNO.

PILIHLAH DENGAN BIJAK – ASAL BUKAN BN ATAU PAS

Kesimpulannya, penulis menyeru supaya rakyat Sabah akan memilih parti tempatan, WARISAN, dalam PRU ke 14, Pulau Pinang dan Selangor akan kekal di bawah PAKATAN HARAPAN.

Langkawi akan diselamatkan dengan mengalahkan UMN/BN di Kedah. Kelantan akan menolak UMNO dan PAS untuk memilih PAKATAN HARAPAN di Kelantan.

Johor akan menunjuk taringnya dan tidak merestui Tan Sri Muhyiddin Yasin, mantan Menteri Besar Johor dan mantan Timbalan Perdana Menteri dihina dengan pemecatan semata-mata kerana bertanya fasal 1MDB untuk mencari jalan supaya Malaysia dapat diselamatkan.

Tambahlah majoriti kemenangan BN di Negeri Sembilan di mana BN tersangat lemah kerana adanya Rosmah, Khairy Jamaluddin, Azalina dan projek ‘pemeliharaan lembu dalam kondo’ yang gagal di Gemas. Rakyat hendaklah tidak mengundi BN untuk selamatkan kekayaan di negeri PERAK.

PENEROKA FELDA

Peneroka FELDA dan anak cucu peneroka hendaklah menolak BN yang telah mencabul warisan Tun Abdul Razak. Veteran tentera dan polis jangan lupa kepada pengalaman mereka mempertahankan negara dari ancaman komunis yang tidak bertuhan.

Sebagai umat Islam kita perlu protes menentang sikap baru kerajaan terhadap Zions Yahudi Israel yang dibenarkan masuk secara rasmi ke Malaysia sedangkan mereka sedang menyembelih rakyat Palestin.

TAKUT CINA

Kita perlu buang sifat TAKUT kepada China yang bukan komunis, dan kita perlu BERANI berkawan dengan China yang menjadi rakyat Malaysia dan sesiapa saja yang kuat MENENTANG RASUAH, apatahlagi jika yang rasuah itu ialah dari kalangan bangsa kita sendiri yang telah menipu kita selama ini.

Apabila Warisan menang di Sabah, Pakatan Harapan menang di Semenanjung dan mereka yang menang di Sarawak boleh menyertakan Warisan dan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan pusat maka dapatlah kita hapuskan segala gejala yang menyusahkan rakyat seperti GST.

Dapatlah kita membaiki institusi amanah yang kini sudah ternoda, dan dapatlah kita menuntut balik harta kita yang disita atau dirampas di Amerika Syarikat, di Singapura, di Switzerland, di mana saja, termasuk di Bali, di mana sebuah kapal termahal milik Jho Teik Low bersembunyi.

KITA PERLU MENJADI BANGSA YANG BERANI BERUBAH KERANA SUDAH TERLALU LAMA PERASAAN TAKUT KITA DISALAHGUNAKAN OLEH MEREKA YANG KITA PERCAYAI UNTUK MEMBANGSATKAN POLITIK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA KITA SENDIRI.

Dipetik daripada blog sanusijunid.blogspot.my bertarikh 02 Mac 2018.

KLIK BACA: Tulisan mengejutkan Tan Sri Sanusi – Sirul pembunuh Altantuya?

Nota Ana Ghoib: Thoha Putrajaya

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Taa, siin. Ini ialah ayat-ayat Al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata (kandungannya dan kebenarannya),

Menjadi hidayah petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman,

Iaitu mereka yang tetap mendirikan sembahyang dan memberi zakat, sedang mereka pula percaya dengan yakin akan hari akhirat.

Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, Kami jadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka kelihatan baik kepada mereka; oleh itu, tinggallah mereka meraba-raba dalam kesesatan.

Merekalah orang-orang yang akan beroleh azab seksa yang buruk (di dunia) dan mereka pula pada hari akhirat adalah orang-orang yang palig rugi, – (An-Naml 27:4-5)

KLIK BACA: Tulisan mengejutkan Tan Sri Sanusi – Sirul pembunuh Altantuya?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share