Darurat diisytiharkan di Sri Lanka selepas polis didapati gagal mengawal keganasan yang berlaku akibat perusuh anti Islam hingga menyebabkan dua maut. – Gambar AFP, 7 Mac, 2018.

Sri Lanka mengisytiharkan darurat di seluruh negara semalam selepas rusuhan anti Islam berlaku menyebabkan dua maut dan lebih 100 rumah dan kedai terbakar di kawasan peranginan pergunungan popular di Kandy.

Kerajaan berkata ia mengambil langkah luar biasa selepas polis gagal membendung keganasan di Kandy, daerah utama yang terkenal dengan ladang teh dan peninggalan Buddha.

Pasukan tentera dihantar untuk meningkatkan keselamatan sebagai tambahan kepada pasukan elit komando polis yang dihantar untuk mengembalikan keamanan selepas perusuh tidak mematuhi perintah berkurung pada waktu malam dan terus melakukan kekecohan.

“Kerajaan mengambil semua langkah yang ada untuk melindungi rakyat terutama umat Islam,” kata Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe di Parlimen.

Beliau berkata siasatan juga dibuka terhadap kelonggaran keselamatan oleh polis yang membenarkan perusuh Sinhalese membakar masjid dan rumah serta premis perniagaan milik umat Islam.

Jurucakap polis Ruwan Gunasekera berkata darurat itu memberikan mereka kuasa tambahan untuk menahan mereka yang menggunakan laman media sosial untuk mencetuskan kebencian perkauman dan provokasi keganasan.

Katanya, tiada laporan keganasan di luar Kandy, tetapi polis meningkatkan keselamatan sempena kunjungan pasukan kriket India dan Bangladesh.

Ketegangan semakin teruk di Kandy selepas mayat seorang lelaki Islam berusia 24 tahun dikeluarkan dari bangunan terbakar. Polis berkata 24 orang ditahan susulan rusuhan itu dan ditahan reman dua minggu. – AFP, 7 Mac, 2018.

KLIK BACA: Zahid mesti sedia angkat sumpah Perdana Menteri ke-7, kata Mahfuz

KLIK BACA: Penerbit ‘Wolf of Wall Street’ setuju bayar kerajaan Amerika RM234 juta penyelesaian kes 1MDB

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE