Polis India berjaya menahan doktor palsu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 46 orang di Bangarmau, utara India, dijangkiti HIV kerana menggunakan jarum yang sama menyuntik mereka. – Foto Daily Trust India

Menurut laporan AFP, lelaki itu, Rajendra Yadav, 35, ditahan polis di Uttar Pradesh hari ini, hasil maklumat orang ramai.

Ketua Polis Daerah Unnao, Pushpanjali Devi, berkata lelaki itu menghadapi tuduhan jenayah, termasuk cuai, menyebabkan penyakit berjangkit, menyebabkan kerosakan dan mengamalkan perubatan secara haram.

Peralatan perubatan dan rawatan yang ditemui bersamanya dihantar ke makmal untuk ujian forensik.

Reuters melaporkan mangsa terbabit antara 566 orang yang diuji agensi kerajaan untuk mengesan HIV pada 24, 25 dan 27 Januari lalu.

Menurut AFP, Ketua Pegawai Perubatan daerah Unnao, SP Choudhary, semua kes jangkitan HIV itu dikesan dari kawasan yang sama di daerah berkenaan.

“Siasatan dilakukan bagi mengesan punca virus itu merebak dan sebahagian mereka memberitahu seorang doktor menggunakan jarum yang sama bagi menyuntik pesakitnya,” katanya.

Menurut Choudhary, pihaknya belum pasti berapa ramai daripada 46 kes itu berkaitan dengan Rajendra.

“Mereka memberitahu lelaki berusia 35 tahun itu (Rajendra) datang ke kampung dengan basikal, memberi pil dan menyuntik pesakit menghidap selsema, batuk dan sakit lain. Dia doktor palsu,” katanya.

Menurut perangkaan PBB, 2.1 juta daripada 1.25 penduduk India dijangkiti HIV akibat pelbagai sebab, termasuk pengambilan dadah dan seks tanpa perlindungan. – Agensi

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE