Malaysia Airlines sedang menjalani siasatan keselamatan di Australia selepas insiden enjinnya mengalami masalah teknikal hingga menyebabkan penerbangan MH122 mendarat cemas di Alice Springs pada Khamis.

Jurucakap Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) memberitahu The Australian bahawa siasatan itu perlu dilakukan kerana mengambil kira saiz pesawat dan jumlah penumpang.

“Kami sedang menyiasat tetapi ia masih di peringkat kurang rumit berbanding siasatan lain dan ia akan dijalankan dari pejabat kami di Canberra,” katanya.

Terdapat 224 penumpang dan anak kapal dalam pesawat MH122 dari Sydney ke Kuala Lumpur, yang terpaksa mendarat cemas selepas berlaku “gegaran” dan “bunyi bising” yang kuat.

Penumpang ketakutan selepas juruterbang memberitahu mereka untuk bersedia untuk impak ketika cuba mendarat di Alice Springs.

Jurucakap itu berkata ATSB mengesahkan pesawat itu bergantung pada enjin kedua dan memilih untuk menutup enjin berkenaan dan mengubah haluan ke lapangan terbang lain di Alice Springs sebagai langkah berjaga-jaga pada jam 7.16pm.

Siasatan ATSB akan bergantung pada imej, laporan udara, rekod data penerbangan dan temu bual dengan anak kapal untuk menyiapkan laporan akhir berkenaan MH122.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu, tetapi penumpang dilaporkan ketakutan dengan seorang daripadanya, Chin Kanani berkata keadaan seperti dalam neraka.

Chin Kanani memberitahu ABC berlaku bunyi kuat ketika dalam penerbangan yang menakutkan isterinya yang ketika itu berada dalam tandas.

Pesawat itu sedang merentasi pantai barat Australia berhampiran Broome, ketika ia mula bergoncang dengan kuat.

Pesawat Airbus A330-300 itu berlepas dari Lapangan Terbang Sydney pada 1.06 petang Khamis dan dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada 6.30 petang hari sama.

Malaysia Airlines memohon maaf dengan kejadian itu dan menawarkan rebat 50% bagi perjalanan akan datang sebagai tanda maaf. – TMI

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share