MAHB berkata klia2 bukan terminal lapangan terbang kos rendah, sebaliknya merupakan terminal tetap kedua untuk KLIA. – Foto Free Malaysia Today

PERUBAHAN terma Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai bukan lapangan terbang kos rendah hanya alasan untuk mengenakan caj tambahan kepada penumpang, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Beliau berkata pengendali lapangan terbang Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) memberi pelbagai alasan untuk justifikasi kenaikan 46% kadar caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) walaupun mereka sendiri mempromosikan klia2 sebagai penanda aras untuk terminal lapangan terbang kos murah LCCT di peringkat antarabangsa.

“Jadi mana yang betul? Brosur pemasaran daripada laman web MAHB atau kenyataan mereka untuk menepis kesalahan daripada kenaikan besar PSC di klia2?

“Sama ada MAHB mahu memanggil klia2 sebagai ‘lapangan terbang hybrid’ seperti pada 2013 atau ‘terminal kekal kedua untuk KLIA’ seperti semalam, fakta kekal bahawa klia2 sejak diluluskan pembinaan oleh kabinet secara spesifik bertujuan menjadi terminal kos rendah menggantikan LCCT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua berkata pada 2013, MAHB melabel klia2 sebagai lapangan terbang hybrid untuk menjawab mengenai kenaikan kos daripada RM1.7 bilion kepada RM4 bilion yang mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia ketika itu yang turut dianggotainya.

Ahli politik DAP itu turut menganggap kenyataan MAHB bahawa mereka sudah menjelaskan hal itu di PAC sebagai lupa, kerana PAC merumuskan alasan MAHB mengelirukan, tidak dapat dipertahankan dan tidak dapat dijustifikasikan.

“Pengerusi PAC ketika itu Nur Jazlan Mohamed berkata MAHB ‘tidak mementingkan pelanggan’ apabila ia sepatutnya membina lapangan terbang untuk digunakan orang ramai, bukan menentukan apa yang orang ramai patut gunakan’.

“PAC mengkritik kesombongan MAHB kerana tidak berbincang dengan pelanggan utama seperti AirAsia dalam perekaan dan pembinaan lapangan terbang itu.

“Laporan PAC itu merumuskan ‘Malaysia kehilangan peluang keemasan untuk membentuk hab tambang murah paling berdaya saing di rantau Asia Pasifik’,” katanya.

Semalam, MAHB membidas kenyataan Pua bahawa kelulusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk menyamakan bayaran yang dikenakan klia2 sebagai terminal kos rendah dan KLIA, tidak munasabah, memandangkan kualiti perkhidmatan di klia2 lebih rendah berbanding KLIA.

MAHB berkata klia2 bukan terminal lapangan terbang kos rendah, sebaliknya merupakan terminal tetap kedua untuk KLIA yang akan menampung pertumbuhan masa depan lapangan terbang berkenaan.

Katanya, kadar PSC yang seragam itu juga membolehkan Malaysia berada lebih sejajar dengan garis panduan antarabangsa, termasuk prinsip tiada diskriminasi harga di lapangan terbang oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan bertujuan memudahkan persaingan lebih adil antara syarikat penerbangan yang beroperasi di kedua-dua terminal.

“Pada Januari 2017, kerajaan memutuskan PSC di semua lapangan terbang di Malaysia disamakan susulan kajian menyeluruh ke atas caj penerbangan dalam keseluruhan industri itu, oleh MAVCOM.

“Walaupun negara lain mengenakan caj penumpang dengan kos pembangunan lapangan terbang secara berasingan, selain PSC, ini tidak berlaku di Malaysia. Kadar PSC kekal sebagai antara kadar paling murah di rantau ini dan di dunia, termasuk selepas persamaan penuh,” kata kenyataan itu. – Sumber The Malaysian Insight

KLIK BACA: Perwakilan Umno ‘dilembukan’ pucuk pimpinan parti, kata MPT Bersatu

KLIK VIDEO: Latihan polis PRU, lakonan selamatkan Perdana Menteri guna helikopter

KLIK BACA: Datuk Ir Amiruddin dedah kesan pemotongan bajet sektor kesihatan, ada ubat dan ujian di hospital sudah tiada. – Adun Kedah

KLIK BACA: IMAMS cari untung sambil kutip GST, cakap bohong lama-lama jadi KLEPTOKRASI – Kadir Jasin

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share