Sememangnya Tun Mahathir mahu menjatuhkan Najib bagi mendapatkan kuasa politik untuk Pakatan Harapan melakukan pembaikan ke atas kerosakan yang telah berlaku di Malaysia. – Foto FMT

oleh Shahbudin Husin | 31 Oktober, 2017

Kata Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa, agenda Tun Mahathir Mohamad mahu menjatuhkan Najib Razak bukan kerana bangsa atau negara, sebaliknya semata-mata disebabkan kuasa.

Kata beliau, agenda itu bermula pada 2013 iaitu setelah anaknya, Mukhriz Mahathir kalah dalam pemilihan untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

Bukan soal agama atau bangsa, tetapi disebabkan dia mahu kekal berkuasa, kata Annuar yang kes beliau berhubung dakwaan salah guna kuasa ketika menjadi Pengerusi MARA masih lagi tergantung keputusannya.

Beliau disiasat oleh SPRM dan Audit Dalaman MARA berkaitan penajaan oleh anak syarikat MARA kepada pasukan bolasepak Kelantan sehingga jawatannya sebagai Pengerusi MARA digantung, namun sehingga ini tidak diketahui apa keputusan siasatan terhadapnya.

Politik memang untuk mendapatkan kuasa kerana melalui kuasalah pelbagai usaha untuk agama, bangsa dan negara dapat dilaksanakan.

Apakah hanya Tun Mahathir berjuang untuk kuasa, manakala Najib tidak berjuang untuk kuasa?

Apa pula tujuan Annuar sendiri mempertahankan Najib kalau bukan mahu memberinya terus berkuasa sebagai Perdana Menteri?

Tidak perlu Annuar mempertikai atau meragui sejauh mana usaha Tun Mahathir untuk agama dan bangsa selama ini kerana semuanya terbentang di mata dan dalam pengetahuan kebanyakan daripada kita.

Dari segi agama, bukan saja dalam negara, bahkan Tun Mahathirlah antara pemimpin dunia yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan Bosnia.

Semuanya dapat beliau lakukan ketika berkuasa dahulu. Kali ini memang Tun Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan mahu menjatuhkan Najib demi untuk mendapatkan kuasa.

Dengan kuasa, tidak saja lebih banyak agenda bangsa dan agama dapat dilakukannya, bahkan melalui kuasalah juga janji-janji Pakatan Harapan seperti menghapuskan GST dan tol, menubuhkan RCI untuk 1MDB dan Felda serta pelbagai agenda lain dapat dilaksanakan.

Dengan kuasa juga, Insya Allah Tun Mahathir dan Pakatan Harapan, akan membawa balik Jho Low untuk diadili serta semua yang terlibat dalam skandal 1MDB yang tidak mungkin dilakukan oleh Najib.

Itulah sebabnya Tun Mahathir memerlukan kuasa kerana tanpa kuasa semua itu tidak mungkin dapat dilakukan.

Maka, kalau Annuar mengatakan Tun Mahathir berjuang untuk kuasa, ia memanglah satu kebenaran sebenarnya.

Cuma, bagaimana Tun Mahathir menggunakan kuasa tidaklah sama seperti Najib yang terbukti lebih memperkayakan Jho Low, anak tirinya Riza Aziz dan memberi pelbagai keistimewaan kepada isterinya, Rosmah Mansor.

Dakwaan Annuar bahawa Tun Mahathir melakukannya berikutan kekalahan Mukhriz dalam pemilihan UMNO 2013 tidaklah tepat kerana bekas Perdana Menteri itu terbukti tidak pernah menaikkan, malah melarang anak-anaknya aktif dalam politik ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Bukankah lebih mudah Tun Mahathir menaikkan anak-anaknya ketika berkuasa dahulu berbanding setelah tiada kuasa, sama seperti beliau menjadikan Annuar sendiri sebagai menteri meskipun kalah dalam pilihanraya 1990?

Jadi, kalau ketika berkuasa pun Tun Mahathir tidak memberi kelebihan kepada anak-anaknya, di mana munasabahnya beliau mahu berkuasa semua untuk memastikan kepentingan mereka terpelihara?

Lagi pula, kalau Tun Mahathir mahu anak-anaknya selamat, lebih baik beliau mengampu dan membodek saja Najib serta menutup mata terhadap segala salah laku Perdana Menteri.

Kalau Tun Mahathir membodek dan mengampu Najib, ke mana terpinggir Annuar agaknya?

Malah kalau Tun Mahathir membodek dan mengampu Najib, bukan saja Annuar akan terpinggir, bahkan beliau bersama Puad Zarkashi, Salleh Said Keruak, Jamal Md Yunos dan sederetan pengampu lain pun mungkin “mati kering” kerana kekurangan dedak untuk dimakan.  – Sumber: ShahbudinHusin

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Artikel pertama kali disiarkan di blog beliau adalah pendapat peribadinya yang tidak semestinya mewakili pendirian MalaysianReview.

KLIK BACA: Tun Mahathir di parlimen berikrar tangkap MO1 100 HARAPAN memerintah!

KLIK BACA: Najib tak suka kacau orang penyabar tak macam Mahathir, kata Annuar Musa

KLIK BACAPutera Turki berkait 1MDB dan Jho Low ditahan. Apakah skandal akan terbongkar di Arab Saudi?

KLIK BACANajib serah saja jawatan Perdana Menteri kepada Timbalan kalau dah tak tahan cabaran…

KLIK BACA:  Johari Abdul cabar Husni ulang dakwaan anak buahnya Hairani Nafiz diliwat Anwar Ibrahim.

KLIK VIDEO: Mental Najib tak stabil sebut Kepala Bapak Kau, kata Zahid

KLIK BACA: Hadi pula akhirnya bawa Najib ke mahkamah?