Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir bersama pimpinan lain jika berkuasa selepas PRU14 tentu tahu mencari Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa pemain utama skandal 1MDB oleh mahkamah Singapura. – Foto FMT

oleh Shahbudin Husin | 26 Oktober, 2017

Perdana Menteri, Najib Razak barangkali amat gembira dengan pengesahan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan siasatan pihak polis terhadap Jho Low sudah pun ditutup dan tiada lagi bantuan Interpol diperlukan untuk menangkapnya.

Ini bermakna, dari sudut Malaysia yang di ketika era kepimpinan Najib ini dikenali juga sebagai negara kleptokrasi, Jho Low adalah manusia paling bebas berbanding kita semua.

Beliau kini boleh bebas untuk pulang ke negeri kelahirannya di Pulau Pinang, singgah untuk berbual dan ketawa-ketawa dengan Najib di Putrajaya atau “makan besar” bersama Rosmah Mansor dan Riza Aziz di Seri Perdana, sambil dalam poketnya ada berkepuk-kepuk wang untuk dibelanjakan.

Malah, jika mahu, Jho Low juga boleh bersiar-siar di sekitar pejabat Tun Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, KLCC atau Jalan Bukit Bintang tanpa ada perasaan takut akan ditahan atau diekori oleh sesiapa.

Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Menteri, di sebalik skandal 1MDB masih disiasat di beberapa negara lain, telah memberikan lesen kebebasan yang amat besar kepada Jho Low.

Nasib dan kebebasan yang dinikmati Jho Low ketika ini ternyata jauh lebih baik berbanding ribuan graduan lepasan universiti yang masih mempunyai hutang tertunggak dengan PTPTN dan disekat untuk ke luar negara.

Jho Low bukan saja kaya dengan wang songlapan dana 1MDB, yang jauh lebih bererti, sementara hutang syarikat pelaburan itu menjadi beban kepada kita semua, beliau akhirnya dilepaskan begitu saja.

Inilah “Malaysia Boleh” namanya, negara yang sejak dua hari lalu dinamakan “Darul Penyangak” oleh Tun Mahathir.

Tetapi, meskipun pengesahan Zahid Hamidi itu membuatkan Najib dan seluruh penghuni Seri Perdana bergembira, ia juga sebenarnya merupakan suatu inspirasi tambahan kepada kita semua untuk terus melakukan perubahan.

Ramai daripada kita mahu Jho Low ditahan, disiasat dan diadili berkenaan peranannya dalam 1MDB, kekayaan luar biasa dan daripada mana punca banyak wang yang dimilikinya.

Sudahlah nama Najib dibersihkan oleh Peguam Negara, ada beberapa individu menghilangkan diri ke luar negara tanpa dapat dikesan, tiada sesiapa yang lain berkaitan 1MDB didakwa di mahkamah dan laporan SPRM kepada Pejabat Peguam Negara berhubung dana RM42 juta milik SRC International ….

….yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri masih tak kunjung tiba, pengumuman Zahid Hamidi bahawa siasatan terhadap Jho Low sudah ditutup, ia merupakan satu lagi berita duka buat kita yang setiap hari semakin sukar menutup poket daripada membayar cukai GST.

Mungkin ramai yang bertambah geram dan sakit sakit hati dengan kenyataan Zahid Hamidi menutup kes Jho Low. Jika itu yang kita rasa, penawarnya ialah dengan semua kita menguatkan lagi iltizam dan memberi lebih banyak undi kepada Pakatan Harapan.

Jho Low hanya dapat dicari, ditahan, disiasat dan diadili sekiranya Pakatan Harapan menguasai Putrajaya. Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir bersama pimpinan lain, jika kuasa sudah dalam tangan mereka, tentulah tahu bagaimana untuk mencari dan menangkap Jho Low nanti.

Yang penting, UMNO dan BN wajib disingkirkan dahulu. Dengan kuasa diberikan kepada Pakatan Harapan, mesej utamanya bukan saja negara dapat diselamatkan, malah Jho Low akan dapat ditangkap sama.

Mengekal dan terus memberi kuasa kepada UMNO dan BN, samalah seperti meneruskan kebebasan yang sudah diberikan kepada Jho Low.

Tidak mustahil jika Najib kekal berkuasa, Jho Low akan terus merangka strategi untuk lebih memperkayakan dirinya dan dalam masa yang sama, “cara menjadi kaya seperti Jho Low” adalah trend dan akan budaya masa depan dalam negara kita.

Dalam hal ini, tindakan Zahid Hamidi mengumumkan penutupan siasatan kes Jho Low harus diambil secara positif dan mampu memberi keuntungan kepada Pakatan Harapan.

Selain itu, Zahid Hamidi juga barangkali ada tujuan serampang dua matanya. Di mata kasar, tindakannya mengumumkan penutupan siasatan terhadap Jho Low terlihat dapat menggembirakan Najib dan Rosmah, tetapi di sudut lain ia juga berupaya menambahkan lagi kebencian dan penolakan rakyat terhadap Perdana Menteri.

Walaupun kebencian rakyat kepada Najib secara langsung akan memberi keuntungan kepada Pakatan Harapan, Zahid Hamidi mungkin dapat mengaut labanya jika BN menang lebih tipis berbanding PRU 13 atau berlakunya situasi Parlimen tergantung.

Jika demikian, sedarkah Najib, pengesahan tutupnya siasatan terhadap Jho Low oleh timbalannya dua hari lalu bukan saja belum pasti merupakan khabar gembira buat dirinya, malah selain Pakatan Harapan boleh mendapat inspirasi tambahan daripadanya, Zahid Hamidi juga menanti peluang yang sama untuk menduduki Seri Perdana? – ShahbudinHusin

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Artikel pertama kali disiarkan di blog beliau adalah pendapat peribadi penulis yang tidak semestinya mewakili MalaysianReview.

KLIK BACA: Pahlawan Bugis tidak mencuri, kata Dr Mahathir kepada Najib

KLIK BACA: Najib dan polisi ekonominya, siapa untung siapa rugi? – Datuk Kadir Jasin

KLIK BACA: Nazri tak fikir arahan Jho Low berkaitan 1MDB mungkin dilakukan di Malaysia?

KLIK BACAJho Low kebal disebabkan pembelaan daripada Umno, kata Mukhriz

KLIK BACA: Mahathir jadi Perdana Menteri dan Allah panjangkan umur untuk menjelaskan ini?

KLIK BACA: Umno mesti dikalahkan baru insaf rasa kepahitan rakyat di bawah, kata Shafie beberapa hari sebelum ditahan SPRM

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE