Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu. – Foto Sinar Harian | 21 Oktober, 2017

Rakyat menghadapi tekanan bebanan kos hidup yang terus melonjak ekoran beberapa tindakan kerajaan termasuk menguatkuasakan cukai songsang (regressive) GST ke atas seluruh rakyat setelah penarikan balik pelbagai subsidi ke atas barang keperluan harian rakyat seperti beras, tepung, minyak masak dan gula.

Turut menghimpit rakyat adalah kesan berantai akibat penghapusan subsidi bahan bakar petrol dan diesel, yang kini ‘diapung’ mengikut ketentuan kuasa pasaran, kata Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Berucap menyampaikan pidato presiden pada Konvesyen AMANAH Nasional di Alor Setar, Mohamad turut menyentuh gejala jenayah yang meningkat akibat tekanan hidup, hilang pekerjaan atau kekal menganggur yang menyerlahkan sindrom sebuah negara-bangsa yang semakin ketandusan kedamaian dan kesejahteraan.

“Pertentangan kaum pula terus diapi-apikan penguasa politik sementara agama menjadi modal politik untuk kekal berkuasa; memecah-belah dan bukan menyatu-padukan rakyat.

“Paling mendukacitakan, di ambang pilihan raya umum ke-14 yang kian dekat, ‘politik toksik’ – yang dicirikan dengan politik keganasan dan politik intimidasi, tampil sebagai modus-operandi golongan proksi pemerintah, buat menakut-nakutkan rakyat.

“Terdedah satu jalur pemikiran politik yang cenderung kepada ‘fascisme Islam’ berpaksikan penekanan kepada ketuanan politik, menggunakan agama secara sempit dalam bingkai nasionalisme baru Melayu-Islam,” ujarnya.

Menurut Mohamad, keadaan ini menghilangkan sifat rahmat, ihsan-belas dan adil Islam.

Malah katanya, bagi membuktikan Islam itu kononnya ‘berkuasa’, ia sentiasa diposisi sebagai bertentangan atau mahu mendominasi penganut agama lain serta ‘mempolisi’ amalan budaya minoriti supaya tidak bercanggah dengan ‘kehendak majoriti’.

“Andainya tidak ada rencana yang gigih, komprehensif dan diatur secara strategik, untuk ‘Selamatkan dan Sayangi Malaysia’ lantas ‘Bina Semula Negara’ ini, maka amat dikhuatiri, penguasa politik ini bakal kembali memerintah negara dengan lebih ganas dan fasis lagi,” ujarnya.

Ini dapat dilihat apabila institusi-institusi kritikal negara yang sepatutnya menjadi tunjang kepada semak imbang bakal reput, dimandulkan dan ditundukkan seluruhnya oleh kuasa Eksekutif di Putrajaya.

Sejumlah 765 perwakilan daripada 153 AMANAH kawasan seluruh negara menghadiri konvensyen yang berlangsung selama dua hari.

Antara tetamu utama yang hadir pada majlis perasmian ialah Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selain wakil-wakil kedutaan asing, turut hadir wakil Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, wakil Parti Persatuan Pembangunan (PPP) Indonesia dan badan bukan kerajaan (NGO). – Sumber Malaysia Dateline

KLIK BACA: Kerajaan minta bantuan Interpol kesan Jho Low tapi belum ada maklumat, kata Zahid

KLIK BACANajib cuba sembunyi situasi sebenar 1MDB, kata Wan Azizah

KLIK BACATuan Ibrahim ungkit dosa Mahathir, sampai bila pun masalah negara tak akan selesai

KLIK BACA: Tun Mahathir teringat hantar Mat Sabu kursus memasak…

KLIK BACA: Hadi Awang bila nak taubat? baru cakap serupa bikin… – Shahbudin Husin

KLIK BACA: Apa kata Shafie sejurus sebelum ditangkap SPRM?