KUALA TERENGGANU 22 Okt – Datuk Mustafa Ali hari ini meminta parti itu menyambut cadangan rundingan yang dibuat oleh Umno demi kepentingan negara ini.

Dalam satu sidang media khas di Kuala Terengganu hari ini, bekas pengarah pilihan raya PAS itu berkata, PAS wajar berunding dengan Umno.

“PAS wajar menyambut tangan yang dihulurkan Umno,” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa sebelum ini, lapor The Malaysian Insight.

Bagi beliau, PAS tidak semestinya masuk Barisan Nasional (BN) selepas berunding tetapi perlu berunding secara rasmi untuk bekerjasama dengan Umno.

Menurut Mustafa yang selama ini berusaha agar PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), cadangan ini diberikan selepas presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyifatkan PAS dan PH tidak ada ‘chemistry’ lagi.

Bagi beliau, pendekatan PAS yang mahu menjadi ‘king maker’ sebelum ini tidak sesuai kerana sistem pilihan raya di negara ini tidak akan membolehkan PAS berjaya.

“King maker hanya boleh berperanan apabila negara dalam keadaan ‘hung parliament’ (parlimen tergantung) tetapi kita sekarang mahu menyertai pilihan raya yang ada kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), veteran pilihan raya PAS yang tidak lagi disambung perkhidmatannya itu yakin parti itu boleh menambahkan undi popular dalam pilihan raya ini.

“Tetapi ia tidak semestinya penambahan kerusi untuk PAS,” katanya.

Oleh itu, katanya, melalui kerjasama dengan Umno, PAS boleh menambahkan kerusi dalam pilihan raya nanti.

“Atas dasar itu, saya mahu lihat PAS bekerjasama dengan Umno kerana kedua-dua parti ini mewakili undi Melayu yang menjadi pengundi tunggak dalam negara ini,” katanya yang bercakap atas pendapat peribadi beliau bukan atas nama PAS.

Mustafa yang memimpin PAS sejak 1974 selepas menang kerusi parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya umum tahun itu tidak memegang sebarang jawatan selepas Muktamar PAS di Alor Setar beberapa bulan lalu.

Namun, selepas itu beliau dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat PAS ketika Tuan Ibrahim Tuan Man memangku jawatan presiden ketika Abdul Hadi bercuti rehat selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

KLIK BACATuan Ibrahim ungkit dosa Mahathir, sampai bila pun masalah negara tak akan selesai

KLIK BACA: Hadi Awang bila nak taubat? baru cakap serupa bikin… – Shahbudin Husin

KLIK BACA: ‘Malaysia tidak perlu penyangak sebagai Perdana Menteri’

KLIK BACANajib orang pertama dihadap RCI 1MDB jika Pakatan Harapan menang PRU14, kata Muhyiddin

KLIK BACA: Tun Mahathir pertikai kenapa siasat Shafie baru sekarang?

KLIK BACA: Hadi terimalah hakikat Mahathir kini berjuang untuk kebaikan negara

KLIK BACA: Tun Mahathir ikrar akan selamatkan Penjawat Awam…