Pihak berkuasa  menemui senjata termasuk senapang, bahan letupan dan peluru dari sebuah rumah dimiliki penembak insiden di Las Vegas, Stephen Paddock, ketika jumlah kematian akibat serangan mencecah 59 orang. – Foto Agensi

MANDALA BAY 3 Okt, 2017 – Suspek lelaki yang menyerang konsert di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada 1 Okt, 2017 adalah bekas akauntan yang kaya yang tinggal di sebuah komuniti padang pasir, lapor BBC.

Stephen Paddock, 64, dari Mesquite di negeri Nevada, memiliki lesen penerbangan dan memburu, serta tiada rekod jenayah.

Salah seorang bekas jirannya berkata suspek adalah kaki judi profesional dan “pelik”, malah dikatakan mempunyai sejarah masalah psikologi.

Paddock baru-baru ini dikatakan membuat beberapa transaksi perjudian bernilai puluhan ribu dolar, tetapi tidak dipastikan adakah dia menang atau kalah dalam pertaruhan itu.

FBI berkata Paddock tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas luar negara, walaupun IS cuba mengaitkannya dengan kumpulan militan itu.

Sembilan belas laras senapang dan beratus-ratus peluru ditemui di bilik hotel di tingkat 32 yang didaftar masuk Paddock pada Khamis lalu, iaitu bilik digunakan untuk menembak rambang ke arah ribuan pengunjung konsert.

Adik suspek, Eric Paddock berkata keluarganya terkejut dengan dakwaan penglibatan abangnya dalam serangan di Las Vegas.

“Ia benar-benar tidak masuk akal, tidak ada sebab dia melakukan serangan ini. Dia hanya pemain poker video, gemar belayar dan menikmati burritos di Taco Bell.”

Eric mendakwa abangnya “tidak minat menembak” dan tidak mempunyai latar belakang ketenteraan. Penembak itu hanya “menembak secara rambang”.

Menurutnya, bapa mereka adalah perompak bank paling dikehendaki FBI suatu masa dulu dan pernah melarikan diri daripada penjara.

Menurut satu poster yang dikeluarkan penguatkuasa undang-undang pada 1969, bapa mereka, Patrick Benjamin Paddock “didiagnosis sebagai psikopat” (gila).

Seorang lagi adik suspek, Bruce Paddock berkata abangnya seorang pelabur hartanah bernilai jutaan dolar.

Penyiasat turut membuat siasatan di kediaman 2 tingkat suspek di komuniti persaraan kira-kira 1 jam dari Las Vegas dan merampas 18 senjata api, bahan letupan dan beribu-ribu peluru.

Paddock berpindah kediamannya di Babbling Brook Court pada Jun 2016 dari Reno, Nevada dan tinggal dengan teman wanitanya, Marilou Danley, 62.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mendapati Danley kini berada di luar AS.

Sekurang-kurangnya 59 orang terbunuh dan lebih 500 lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah konsert di luar Hotel Mandalay Bay, Las Vegas di Nevada.

Angka itu menjadikan insiden tersebut paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat. – Agensi | FMT

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE