Abang mangsa yang patah tangan kiri akibat ditetak adiknya yang kurang siuman menggunakan parang. – Foto Sinar Harian

SUNGAI SIPUT1 Okt, 2017 – Tindakan pantas dan berani sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput berjaya menangkap seorang lelaki kurang siuman di Kampung Muhibbah, di sini.

Dalam insiden kira-kira jam 5.16 petang itu, seorang lelaki berusia 43 tahun yang merupakan abang kepada lelaki kurang siuman itu patah tangan kiri akibat ditetak dengan parang.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman mengesahkan laporan kejadian ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, anggota polis cuba memujuk lelaki berusia 40 tahun itu mengamuk dengan membawa sebilah parang dan berdiri di hadapan rumah abangnya.

“Anggota memaklumkan kepada saya lelaki tersebut berada di hadapan rumah abangnya di Kampung Muhibbah dan memegang sebilah parang panjang.

“Dimaklumkan juga lelaki tersebut telah menetak abangnya sebelum kehadiran polis. Akibat tetakan itu, abangnya mengalami kecederaan di tangan kiri,” katanya.

Tambah beliau, beberapa anggota di lokasi kejadian cuba memujuk lelaki tersebut namun tidak berhasil dan menyebabkan polis menembak lelaki itu dengan ‘taser gun’.

“Anggota telah memberi amaran kepada lelaki itu dengan tiga kali menyebut perkataan ‘taser’ tetapi amaran tersebut tidak dipedulikan.

“Lelaki itu kemudian bertindak menyerang anggota dan tembakan dilepaskan ke arahnya dalam jarak kira-kira lima meter.

“Lelaki itu mendapat sedikit kecederaan ringan akibat terjatuh selepas ditembak dan kemudiannya menerima rawatan di Hospital Sungai Siput,” katanya.

Ujarnya lagi, lelaki tersebut dirujuk dan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk tindakan selanjutnya.

KLIK BACA: Adik ipar anggota TLDM dakwa kesan lebam pada dada mangsa

KLIK BACA: Anggota TLDM meninggal dunia dalam tahanan tinggal pesan kepada isteri

KLIK BACA: 3 suspek kes bunuh 2 anggota TLDM direman

KLIK BACA: Najib, Zahid takut luluskan pendaftaran Pakatan Harapan, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: Petir kilat ‘serang’ himpunan Fastaqim PAS

KLIK BACA: KP SPRM Dzulkifli anggap Kit Siang umpamakannya ‘monyet’ isu 1MDB biadab



Tolong Komen & Share