Nor Aiza menunjukkan gambar anaknya Effa Sharizan Jaslan  yang hilang sejak 4 bulan lalu disyaki dilarikan lelaki warga Indonesia. – Foto Sinar Harian

KUALA SELANGOR 30 Sept, 2017  – “Naluri saya kuat mengatakan rangka manusia itu mayat anak saya,” demikian luahan Nor Aiza Abdul Karim, 47, ketika dimaklumkan mengenai penemuan rangka manusia di Kampung Pasir Tuntung.

Rangka manusia yang ditemui dalam semak samun di sebuah kebun di kampung itu pada Jumaat lalu itu disedari orang kampung sekali gus menamatkan misi pencarian Nor Aiza sekeluarga.

Menurutnya, nalurinya kuat mengatakan rangka itu milik anaknya, Effa Sharizan Jaslan berdasarkan pakaian yang ditemui bersama rangka selain penemuan kunci basikal dalam poket seluar mangsa.

“Akak sangat cam dan kenal pakaian Effa sebab akak sendiri yang belikan. Lebih akak yakin, rangka itu milik Effa apabila kesan tampalan gigi pada tengkorak sepadan dengan gigi geraham kiri Effa yang berlubang.

“Akak dan beberapa ahli keluarga kemudiannya pergi ke lokasi jumpa rangka tu dan ada nampak barang milik Effa macam jam tangan, rantai manik kayu dan baju T.

“Semua tu dekat dengan tulang manusia tu dan semuanya kami serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya sebak selepas menunggu ‘kepulangan’ Effa sejak empat bulan lalu.

Nor Aiza berkata, dia dimaklumkan mengenai penemuan rangka itu oleh anak saudara dan penduduk kampung pada Sabtu lalu dan terus bertanyakan hal sama kepada balai polis berhampiran.

“Akak dapat tahu jumpa rangka tu bila anak saudara bagi tahu pada hari Sabtu dan esoknya, akak pun hubungi Balai Polis Jeram untuk dapatkan maklumat lanjut.

“Selepas tu, hari Isnin lepas akak pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor sebelum ke Hospital Tanjong Karang untuk buat pengecaman rangka tu,” katanya.

Nor Aiza yang masih menunggu keputusan padanan DNA dan ujian makmal dalam tempoh dua minggu lagi itu turut bermimpikan Effa seminggu sebelum penemuan rangka itu.

“Akak ada mimpi jumpa Effa dekat pasar malam. Masa tu akak ajak dia balik tapi dia terus lari dan hilang dari pandangan,” katanya yang masih trauma dan sebak kehilangan anak sulungnya.

Sinar Harian ketika menghubungi pihak polis mengenai penemuan rangka manusia itu bagaimanapun dilaporkan enggan mengulas lanjut.

Sumber polis berkata, siasatan masih berjalan dan masih belum menerima keputusan punca kematian dan padanan DNA bagi memberi sebarang pengesahan lanjut. – Sumber Sinar Harian

KLIK BACA: Adik ipar anggota TLDM dakwa kesan lebam pada dada mangsa

KLIK BACA: Anggota TLDM meninggal dunia dalam tahanan tinggal pesan kepada isteri

KLIK BACA: 3 suspek kes bunuh 2 anggota TLDM direman

KLIK BACA: Najib, Zahid takut luluskan pendaftaran Pakatan Harapan, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: Petir kilat ‘serang’ himpunan Fastaqim PAS

KLIK BACA: KP SPRM Dzulkifli anggap Kit Siang umpamakannya ‘monyet’ isu 1MDB biadab

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE