Perintah pemansuhan larangan wanita memandu itu dikeluarkan oleh Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud. – Foto EPA

KUALA LUMPUR 27 Sept, 2017 – Wanita di Arab Saudi kini dibenarkan memandu di jalan raya selepas kerajaannya memansuhkan sekatan yang selama ini menjadi antara alasan dunia mendesak pembaharuan menyeluruh di negara Islam konservatif itu.

Wanita di Arab Saudi kini tidak lagi disyaratkan mendapat kelulusan waris untuk memiliki lesen memandu. Mereka juga tidak lagi perlu ditemani oleh muhrim jika memandu.

Pemansuhan sekatan itu berkuat kuasa serta merta namun pelaksanaannya akan mengambil masa sehingga pertengahan tahun depan, lapor agensi berita di Arab Saudi.

Perintah pemansuhan larangan wanita memandu itu dikeluarkan oleh Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

“Perintah diraja akan membabitkan pelaksanaan peraturan lalu lintas, termasuk mengeluarkan lesen memandu kepada lelaki dan wanita,” lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Raja Salman juga mengeluarkan arahan diwujudkan sebuah jawatankuasa tertinggi membabitkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Buruh dan Pembangunan Sosial, bagi mengkaji peraturan baharu memandu itu.

Pengumuman itu menyempurnakan perayaan sambutan hari kebangsaan Arab Saudi pada hujung minggu, yang pertama seumpamanya, yang bertujuan menonjolkan usaha pembaharuan kerajaan, kata para penganalisis, walaupun menerima tindak balas sebaliknya daripada golongan konservatif agama.

Lelaki dan wanita menari di jalanan mengikut alunan drum muzik elektronik, satu suasana anomali menakjubkan di negara yang terkenal dengan pengasingan jantina dan pelaksanaan Islam yang ketat.

Wanita juga dibenarkan masuk ke stadium sukan yang selama ini dibenarkan kepada lelaki sahaja untuk menonton konsert muzik, satu gerakan seiring dengan rancangan “Wawasan 2030” kerajaan bagi pembaharuan sosial dan ekonomi.

Dengan lebih daripada separuh pendudukanya berusia di bawah 25 tahun, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, anak raja dan pencetus utama Wawasan 2030, dilihat cuba memenuhi aspirasi golongan muda dengan pelbagai pilihan hiburan dan mempromosikan lebih banyak wanita dalam bidang tenaga kerja.

KLIK BACA: Malaysia aman sebelum ‘perompak’ muncul, sindir Tun Mahathir

KLIK BACA: Jangan Monyetkan Malaysia – Datuk A Kadir Jasin

KLIK BACA: Trump guna isyarat tali leher merah biru ketika jumpa pemimpin penting, tapi malangnya…

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE