Menurut Najib Malaysia juga berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB). – Foto Malaysia Dateline

WASHINGTON DC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat (AS) dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu, umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, KWSP sahaja dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion di negara tersebut.

“Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS,” kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di sini, malam tadi.

Najib, yang juga menteri kewangan berkata delegasi Malaysia mempunyai 3 cadangan khusus.

Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB).

“Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

“Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga tersebut akan bernilai melebihi AS$10 bilion,” katanya.

Perbincangan dengan Trump itu merupakan kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 Sept atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu yang memegang jawatan pada 20 Jan tahun ini.

Najib berkata kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.

“Keduanya, kami memiliki KWSP, yang merupakan dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir AS$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda,” katanya.

Najib juga berkata Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan telah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya. – BERNAMA

KLIK BACA: Saya nak termuntah bila Najib kata ‘Number 1, we want to help you…US.” – Rafizi

KLIK BACA: Jika Najib tidur di hotel mewah Trump, kos ditanggung rakyat Malaysia bukan AS – Washington Post

KLIK BACA: Najib ke Amerika jumpa Trump – “Ular lidi suap makanan kepada ular sawa”

KLIK BACA: BN menang PRU14 rakyat ‘pulang paku buah keras’ kepada Tuan Ibrahim, Hadi pula

KLIK BACA: Saya orang pertama suruh Dr Mahathir bersara, dakwa Annuar Musa

KLIK BACA: Dr Mahathir gesa pemimpin dan ahli PAS bertaubat jangan sokong jenayah

KLIK BACA: Nor Yakcop bantu negara, Dr Mahathir berdepan serangan Soros krisis kewangan 1997 – Zam