Empat warga Pakistan yang bekerja di sebuah kedai perabot di Taman Seri Acheh di sini, cedera ditetak pedang samurai oleh perompak. – Foto Kosmo! Online

Seberang Perai 10 Sept, 2017 – Empat warga Pakistan yang bekerja di sebuah kedai perabot di Taman Seri Acheh di sini, cedera pada beberapa bahagian badan selepas ditetak dengan pedang samurai dalam kejadian samun hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian kira-kira 9.40 pagi itu, empat lelaki berusia 20 hingga 40 tahun berkenaan sedang membuka pintu kedai untuk memulakan perniagaan.

“Tiba-tiba dua lelaki bertopeng datang ke arah mereka dan menolak semua mangsa masuk ke dalam kereta serta berlaku pergelutan sehingga menyebabkan topeng dipakai suspek tertanggal.

“Empat pekerja itu berjaya menahan dua suspek berkenaan namun tiba-tiba seorang rakan mereka datang dan masuk ke dalam kedai serta menyerang mangsa dengan menggunakan sebilah pedang samurai,” katanya.

Beliau berkata empat lelaki itu terpaksa melepaskan dua suspek berkenaan kerana mengalami kecederaan selepas sekali lagi berlaku pergelutan dengan lelaki bersenjatakan pedang samurai tersebut.

Shafee berkata tiga suspek lelaki itu melarikan tiga buah telefon bimbit mangsa dan wang tunai sebanyak RM500 sebelum mereka melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Wira.

Katanya semua mangsa dapat mengecam wajah tiga lelaki dipercayai warga tempatan itu dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kedai perabot itu namun pihak polis akan mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata polis turut menemui bebeberapa barang milik suspek yang tercicir di kedai perabot berkenaan dan kes disiasat menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Semua warga Pakistan yang cedera itu masih menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak dan dilaporkan stabil, katanya. – Bernama

KLIK BACA: BN menang PRU14 rakyat ‘pulang paku buah keras’ kepada Tuan Ibrahim, Hadi pula

KLIK BACA: Rafizi dakwa Najib menginap di hotel milik keluarga Trump