Pengguna Facebook dengan profil akaun ‘YB Kamarzaman’ dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 19 Julai lepas.

PUTRAJAYA 11 September, 2017 – SEORANG pesara Telekom Malaysia (TM) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menggunakan aplikasi Facebook, Julai lepas.

Hakim Zainal L. Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Kamarzaman Mustafa, 56, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dan menasihatkan Kamarzaman supaya berfikir dahulu sebelum berkongsi apa-apa maklumat dalam laman media sosial.

“Pastikan dahulu kesahihan sesuatu perkara sebelum menyebarkannya, kalau sesuatu berita itu tidak betul atau tidak pasti, jangan sebarkan kerana itu boleh menyebabkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Kamarzaman menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya dia gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Kamarzaman didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil “YB Kamarzaman” di pautan https://www.facebook.com/haji.kamarzaman/posts/460401760996621 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 12.53 pagi, 19 Julai lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Kamarzaman yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai pelbagai jenis penyakit.

“Saya hanya memuat naik status itu kerana prihatin sebagai seorang Muslim. Jadi saya pohon hukuman ringan kerana saya juga mengalami pelbagai jenis penyakit seperti gout, kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Norhani Mohamad Adzhar memohon hukuman setimpal kerana kes itu melibatkan kepentingan awam dan status yang dimuat naik itu telah mendatangkan kegusaran kepada orang ramai serta bersifat palsu.

Mengikut fakta kes, pada 1 Ogos lepas seorang lelaki telah membaca status yang dimuat naik oleh Kamarzaman, dan hasil siasatan mendapati akaun itu milik OKS dan berdasarkan keterangan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantum dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengesahkan status yang menjadi tular itu adalah komunikasi palsu. – Bernama, 11 September, 2017.

KLIK BACA: Tuan Ibrahim Dalang Hadi Awang, kata ZAM 

KLIK BACA: Najib ada berani tubuh RCI Memali selepas RCI Forex menikam diri?

KLIK SINI: Video wawancara Tun Mahathir buka suara – CNN Indonesia di Putrajaya

KLIK BACA: Bila RCI Forex ditubuh Najib nak panggil Tun Mahathir…

KLIK BACA: “Jelas berbeza ilmu, pegangan agama dan keyakinan diri antara Nik Aziz dan Hadi Awang” – Kadir Jasin

Tolong Komen & Share