Ma Rongrong terjun daripada tingkat lima hospital selepas berjam menahan kesakitan bersalin tetapi tidak dibenarkan menjalani pembedahan caesarean mencetuskan perdebatan hangat di negara itu. – Foto AsiaOne, 10 Sept, 2017

KESAKITAN ketika proses melahirkan anak tidak tertanggung oleh Ma Rongrong. Berjam lamanya dia merayu supaya dibenarkan menjalani pembedahan caesarean bagi mengakhiri kesakitan. Selepas beberapa kali rayuannya ditolak, dia terjun daripada tingkat lima sebuah bangunan di utara China, membunuhnya serta merta.

Keluarga Ma dan para doktor kini menyalahkan satu sama lain selepas kejadian itu.

Tragedi itu mengemparkan China, banyak pihak tertanya-tanya mengapa Ma tidak dibenarkan menjalani prosedur pembedahan kelahiran yang biasa itu.

Masih tiada jawapan jelas, tetapi kejadian itu mencetuskan perdebatan hangat di China daripada kos penjagaan kesihatan yang tinggi sehinggalah kepada hak pesakit untuk mendapatkan rawatan serta bahaya nilai tradisi keluarga China.

Perdebatan itu mencapai kemuncaknya minggu ini selepas rakaman keselamatan hospital menunjukkan Ma melutut merayu di depan keluarganya di koridor hospital tular di media sosial.

Sidang pengarang People’s Daily dalam komentarnya mengenai kejadian itu berkata tidak kisahlah siapa yang bersalah, kejadian itu ialah titik mula kesedaran banyak perkara di China.

“Sangat mustahak untuk memberi lebih perhatian kepada perasaan wanita hamil, dan menghormati kuasa autonomi mereka ke atas badan mereka sendiri,” katanya.

“Kita perlu lebih memahami dan menjaga mereka. Kita tidak hanya boleh memikirkan soal dasar dan kepentingan.”

Pihak hospital dan keluarga Ma menyalahkan sesama sendiri kerana tidak membenarkan dia menjalani pembedahan itu, yang mungkin menjadi penyebab kepada tindakan dia membunuh diri daripada terus menderita sakit.

Hospital berkata yang mereka mencadangkan Ma menjalani pembedahan itu, tetapi dia dan suaminya bertegas mahu bersalin secara semulajadi kerana percaya ia lebih baik untuk anak mereka.

Sebagai bukti, hospital itu memuatnaik log pembedahan dalam akaun media sosial rasmi mereka, menunjukkan keluarga Ma menafikan permintaan pesakit untuk menjalani pembedahan.

Ma memberikan kuasa kepada suaminya untuk membuat keputusan perubatan bagi pihaknya, dan kerana itu pihak hospital “tidak berhak mengubah cara kelahiran tanpa kebenaran (suaminya)”.

Tetapi suami Ma, Yan Zhuangzhuang memberitahu Beijing Youth Daily yang dia bersetuju kepada pembedahan itu, tetapi doktor mengatakan ia tidak perlu.

Di bawah undang-undang China, keputusan perubatan perlu dilakukan pesakit, menurut Feng Lihua, seorang pakar pertikaian perubatan di Firma Guaman Zhongdun di Beijing.

“(Kuasa keputusan) tidak boleh diserahkan kepada orang lain,” katanya kepada AFP. – AFP

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE