1MDB dapat membayar hutangnya sehari lebih awal sebelum Hari Kemerdekaan. Najib dilaporkan [Bernama] berkata, Malaysia dulu tidak bankrap wang Forex 30 bilion lesap. – Foto FMT

ULASAN oleh Shahbudin Husin

Merdeka, merdeka, merdeka…

Sudah 60 tahun kita menyambut merdeka, tapi kali ini ada yang bangga dan merasakan kemerdekaan sebenar ialah apabila 1MDB dapat membayar hutangnya sehari lebih awal daripada yang dijadualkan.

Apakah itu patut dibanggakan?

Bukankah ia memang janji yang perlu ditunaikan?

Lagi pun, 31 Ogos iaitu tarikh akhir pembayaran perlu dibuat adalah cuti umum, jadi sudah tentu bayarannya perlu dibuat sehari lebih awal daripada itu.

Jika tidak, dengan cuti merdeka, sambung cuti Aidil Adha dan kemudian cuti tambahan lagi atas kejayaan atlit negara di Sukan SEA, sudah pasti hampir seminggu akan tertangguh lagi bayaran itu.

Bila tertangguh lagi, sudah pasti kena denda lagi sepertimana sebelum ini.

Awal bulan lalu, disebabkan gagal melakukan pembayaran penuh AS$603 juta pada 31 Julai, IPIC setuju memberi lanjutan tempoh selama 5 hari lagi.

Kemudian, selepas 5 hari di mana 1MDB gagal juga membuat bayaran, IPIC setuju memberi tambahan masa selama sebulan lagi iaitu sehingga 31 Ogos dengan syarat bayaran AS$310 juta hendaklah dibayar pada 12 Ogos.

Tetapi, apa jadi akhirnya?

Bayaran yang dibuat kepada IPIC pada 12 Ogos itu bukan lagi AS$310 juta, tetapi AS$360 juta.

Kenapa bertambah AS$50 juta?

Bermakna, setiap kali kelewatan pasti ada harganya.

Kesimpulannya, tiada yang menghairankan bila 1MDB dapat membayar kepada IPIC sebagaimana yang dipersetujui. Ia menang kewajipan 1MDB untuk menunaikannya dan untuk mengelakkan didenda lagi.

Macam kita wajib sembahyang lima waktu dalam sehari, apakah wajar kita berbangga dan heboh sekampung ketika dapat menunaikannya tepat pada waktunya?

Yang lebih penting daripada itu untuk kita fikirkan dengan jiwa bebas dan merdeka ialah mengapa bayaran penyelesaian keseluruhan berjumlah AS$1.2 bilion perlu dibayar oleh 1MDB kepada IPIC?

Sehingga ini, satu peringkat iaitu AS$603 juta memang sudah dibayar, tetapi ada satu lagi pembayaran dengan jumlah yang sama perlu dijelaskan sebelum 31 Disember akan datang.

Apakah tiada masalah lagi bagi 1MDB untuk membayarnya ketika itu?

Selain bayaran AS$1.2 bilion tersebut, sebagai sebahagian penyelesaian yang dipersetujui, 1MDB juga setuju menanggung pembayaran faedah dan pokok bagi dua bon bernilai AS$3.5 bilion yang dijamin oleh IPIC.

Jadi, bermakna sahlah hilang terus wang yang dibayar oleh 1MDB kepada syarikat Aabar palsu sebelum ini?

Siapa yang sebenarnya untung dan siapa pula yang rugi di sebalik kehilangan wang tersebut?

Merdeka, merdeka, merdeka….kita yang merdeka atau Jho Low yang akan terus bebas merdeka?

Akhirnya, moga sambutan merdeka tahun depan iaitu selepas PRU 14 diadakan, kemerdekaan yang kita nikmati benar-benar memberi erti dalam kehidupan, bukan semata-mata kerana bangga dapat membayar hutang, sedangkan poket sendiri masih lagi kekurangan wang.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal, Artikel adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Review.

Foto oleh Addin Baker

KLIK BACA: Apakah Najib kita melutut kepada Amerika?

KLIK BACA: 1MDB rugi atas kertas seperti didakwa Annuar Musa terjawab di SINI

KLIK BACA: Kebetulan Najib jumpa Trump menjelang PRU14, ini kata Dr Mahathir

KLIK BACA: Subsidi minyak ditarik Najib Perdana Menteri ada kuasa pula?

Click Read: DoJ 1MDB – We will not allow US to be a place where corrupt individuals can hide assets and lavishly spend money

CLICK READ: To stay in power, Najib is wooing PAS, mixing religion with politics