Ameng disambut isterinya Sabariah Zakariah dan anak Wan Amnar Haikal sebaik dibebaskan dari Penjara Kluang pada 14 Jun 2016. ― Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Ogos ― Penyanyi Ameng menyingkap kembali bagaimana al-Quran mengubah hidupnya menjadi lebih bererti.

Ameng, nama popular Wan Aminuddin Wan Ismail, berkata pengalaman lapan tahun di penjara menjadikannya semakin dekat dengan kitab suci itu.

“Bermula di dalam penjara, al-Quran jadi teman sejati saya. Setiap masa saya berdamping dengan al-Quran sebagai pengubat jiwa.

“Masa itu saya rasa tertekan kerana rindukan keluarga dan hadapi kesulitan hidup terpenjara. Dengan al-Quran, kualiti hidup saya jauh lebih baik.

“Apa yang dilakukan di penjara, saya bawa keluar seperti bangun seawal jam 3 pagi. Saya bersolat tahajud, taubat, istikharah dan membaca al-Quran.

“Hidup saya paling berkualiti adalah di penjara kerana bebas daripada perkara maksiat,” katanya.

Penyanyi “Sejiwa” berkata demikian dalam satu perkongsian yang diadakan di Shah Alam minggu lalu seperti dilapor Sinar Harian.

Ameng, 49, turut terkenang kepedihan menerima lapan sebatan ketika menjalani hukuman penjara.

“Sebatan pertama sudah cukup untuk membuatkan kulit punggung saya terkoyak. Kesakitan yang amat sangat terasa seluruh badan.

“Belum pun sempat merayu untuk tangguhkan sebatan kedua, sebatan kedua menyapa semula di tempat yang sama.

“Pada masa itu, saya rasa bagaikan mahu mati. Sebaik sahaja saya dilepaskan daripada ikatan tali, tubuh terus rebah ke lantai yang dibasahi darah.

“Saya minta dibawa ke hospital untuk dapatkan rawatan, tapi pegawai memberitahu kecederaan dialami itu perlu sembuh dengan sendiri,” katanya.

Nota Ana Ghoib: Teringatkan akan BENJY apalah kisahnya kini di penjara Medan, Sumatera, Indonesia.

Ya Tuhan berilah kami mereka kita semua peluang kedua apabila khilaf melakukan kesalahan dan dosa. Amin….

Tolong Komen & Share