Anak Man Kidal, Elly disiasat aktiviti pelaburan haram. – Foto Utusan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos ― Pemain gitar terkenal menggesa masyarakat menghentikan tuduhan dan membiarkan polis melakukan siasatan.

Man Kidal, nama popular Abdul Rahman Mahmood, berkata anaknya Elly sudah menyerahkan diri kepada polis minggu lalu dan dibebaskan Ahad lepas.

“Kepada mereka yang tidak henti-henti mencemuh, menuduh dan melontarkan tohmahan terhadap anak saya, hentikan segera.

“Ini kerana ia turut membabitkan nama saya dan seluruh keluarga kami. Serahkan kepada polis dan biar mereka melakukan tugas mereka.

“Pada masa sama kami sedang mengumpul bukti untuk membuktikan Elly tidak bersalah,” katanya kepada Harian Metro.

Elly, nama popular Mohd Shefflee minggu lalu ditahan polis dipercayai terlibat mengendalikan aktiviti pelaburan haram.

Man Kidal, 54, berkata Elly kini menjalankan tugas seperti biasa dan sedia memberi kerjasama kepada polis pada masa depan.

Katanya, Elly, 32, tidak melakukan perbuatan itu dan hanya sebilangan yang mendakwa tertipu oleh syarikat tersebut.

“Ada lebih 1,000 pelabur yang melabur dalam perniagaan itu tetapi hanya 80 orang yang mendakwa Elly menipu mereka.

“Mungkin perkara itu terjadi kerana ketika menandatangani kontrak, mereka tidak membaca dan memahami syarat serta terma tertentu.

“Antaranya ialah keuntungan yang akan diagihkan kepada pelabur berdasarkan keuntungan yang diperoleh syarikat.

“Jika pada tempoh tertentu, syarikat tidak memperoleh keuntungan, maka ia turut memberi kesan kepada pelabur dan bukannya Elly melarikan wang pelabur,” katanya.

Tolong Komen & Share