Penganalisis politik Shahbudin Husin mengulas kenyataan dangkal Annuar Musa bahawa kerugian 1MDB era Najib hanya di atas kertas berbanding kerugian Forex BNM era Dr Mahathir. – Foto ihsan Free Malaysia Today

oleh Shahbudin Husin

Beberapa rakan menghantar pesanan melalui whatsapp berhubung kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa yang mengatakan kerugian forex adalah benar, manakala kerugian 1MDB sekadar di atas kertas sahaja.

Kata mereka, apa sudah jadi dengan Annuar?

Kenapa sanggup memperbodohkan diri sebegitu rupa?

Yang lain pula berkata, kalau ia pun mahu membodek Najib Razak, takkan sehingga ke tahap itu sanggup dilakukannya?

Hakikatnya, ramai yang kesian dan simpati dengan Annuar apabila beliau menyatakan kerugian forex adalah benar, manakala kerugian 1MDB cuma semata-mata di atas kertas.

Siapa pun yang normal, waras dan tiada kepentingan peribadi akan menolak apa yang disebut oleh Annuar itu jika mereka membaca dan mengikuti perkembangan berkaitan 1MDB dan forex.

Forex adalah perniagaan di mana untung dan rugi adalah perkara biasa. Asalkan tiada penyonglapan, penyelewegan atau masuk ke dalam akaun bank peribadi sesiapa, kerugian dalam perniagaan seharusnya diterima sebagai sesuatu yang normal.

Lagi pula, apakah sepanjang masa perniagaan forex itu mengalami kerugian?

Bagaimana semasa perniagaan forex itu memberi keuntungan dan kenapa ia tidak pernah disebut sama-sekali?

Berbeza dengan 1MDB, ia adalah kerugian dan kehilangan atau kecurian wang yang nyata yang dilakukan melalui dana yang dipinjam dengan harapan pembayaran dapat dilakukan melalui penyenaraian awam serta pembangunan tanah TRX dan tapak Kem Tentera Udara di Sungai Besi yang dianugerahkan oleh kerajaan pada harga paling murah kepada syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib itu.

Jika tiada kecurian dan kehilangan wang, bagaimanakah pembayaran boleh dibuat sebanyak dua kali kepada IPIC setelah bayaran pertama adalah kepada Aabar Investment yang palsu?

Jika tiada kecurian dan kehilangan wang, bagaimanakah Jho Low boleh berbelanja mewah, membeli jet, kapal layar, kondo ratusan juta ringgit, lukisan mahal, berpesta arak dan memberi hadiah barang kemas kepada selebriti Hollywood dan “isteri Malaysian Official 1”?

Jika tiada kecurian dan kehilangan wang, bagaimanakah Riza Aziz, anak tiri Najib dalam sekelip mata mampu menerbitkan filem dengan kos ratusan juta ringgit serta memiliki kondo mewah di beberapa bandar di Amerika dan London?

Jika tiada kecurian dan kehilangan wang, bagaimanakah beberapa negara boleh menjalankan siasatan, selain ada yang sudah menjatuhkan hukuman, bahkan penyiasatan di Switzerland dan Amerika belum lagi dihentikan?

Lebih dari itu, mengapa 1MDB baru-baru ini tersangkut-sangkut dalam pembayaran hutangnya kepada IPIC jika kerugiannya hanya di atas kertas?

Kiranya mahu disenaraikan, banyak lagi kecurigaan dalam urusniaga 1MDB boleh dicatatkan yang membuktikan ia bukanlah kerugian di atas kertas, malah kerugian nyata yang disekalikan dengan kehilangan atau kecurian wang berjumlah bilion-bilion ringgit banyaknya.

Persoalannya, kenapa Annuar masih sanggup mengatakan kerugian 1MDB hanyalah di atas kertas semata-mata?

Kita jangan lupa bahawa Annuar, di samping masih bernafsu dan ingin dipilih lagi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh, beliau juga sedang berdepan dengan penyiasatan berhubung kes penajaan anak syarikat Mara terhadap pasukan bolasepak Kelantan ketika beliau menjadi Pengerusi Mara.

Kes tersebut masih lagi tergantung dan mungkin failnya ketika ini sedang berada di atas meja Perdana Menteri.

Jika tiba-tiba kesnya seperti Isa Samad, sudah tentu terbantut cita-cita dan gelaplah masa depannya.

Maka, apa nak dihairankan jika Annuar sanggup mengatakan kerugian 1MDB cuma di atas kertas, manakala kerugian forex yang semua orang faham lebih bertujuan untuk mengenakan Tun Mahathir adalah kerugian yang sebenar?

Malah, semakin dekat tarikh pilihanraya itu, janganlah terperanjat jika kata-kata yang lebih dahsyat daripada itu pun akan sanggup dilafazkannya untuk membela dan membodek Najib.

Semua kenyataan beliau di waktu ini tentu ada makna serta harganya dan bukan kata-kata percuma. – Sumber ShahbudinHusin

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Artikel adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Review sebagai laman penyebar berita.

KLIK BACA: Umno bukan lagi satu-satunya pembela Melayu, Najib ‘ditampar’ MB Negeri Sembilan

KLIK BACA: Apakah Najib kita melutut kepada Amerika?

KLIK BACA: Najib kian panik takut pertukaran PM, Kerajaan

KLIK BACA: 1MDB rugi atas kertas seperti didakwa Annuar Musa terjawab di SINI

KLIK BACA: Kebetulan Najib jumpa Trump menjelang PRU14, ini kata Dr Mahathir

KLIK BACA: Subsidi minyak ditarik Najib Perdana Menteri ada kuasa pula?

Click Read: DoJ 1MDB – We will not allow US to be a place where corrupt individuals can hide assets and lavishly spend money

CLICK READ: To stay in power, Najib is wooing PAS, mixing religion with politics

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share