Peristiwa Memali yang menggemparkan negara dijadikan alasan punca kekecohan di forum Nothing to Hide 2.0 melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya turut dihadiri Datuk Seri Najib Tun Razak. – Foto FMT

Forum Nothing to Hide 2.0 kecoh ketika seorang peserta mengajukan soalan kepada Mahathir mengenai peristiwa Memali yang berlaku ketika zaman pemerintahannya beliau.

Tragedi Memali berlaku tanggal 19 November 1985 di sebuah kampung bernama Memali di Baling, Kedah dan telah mengorbankan 18 orang termasuklah empat anggota polis semasa pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku, berpuluh yang lain cedera dan ratusan orang khususnya penduduk kampung ditahan.

Pertempuran didakwa berpunca daripada tindakan polis mahu menahan seorang penceramah bebas, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dalam satu operasi yang digelar Operasi Angkara kerana dituduh mengancam keselamatan negara.

Keengganan penduduk kampung menyerahkan Ibrahim Libya, menyebabkan satu pertembungan antara kedua-dua pihak sebelum penceramah itu ditembak mati dan kesemua mereka yang meninggal dunia dikebumikan dalam satu liang lahad serta dianggap mati syahid.

*Ulasan oleh penulis buku politik terkenal, Shahbudin Husin mengenai Memali, Mahathir yang disalahkan Presiden PAS, Hadi Awang.

oleh Shahbudin Husin

Presiden Pas, Hadi Awang menyalahkan jawapan Tun Mahathir Mohamad yang tidak memuaskan hati mereka yang hadir sebagai punca berlakunya kekecohan dalam program Nothing To Hide 2.0, Ahad lalu.

Kata beliau, tragedi berdarah pada 1985 itu memberi kesan kepada Pas kerana seorang pemimpinnya, Ibrahim Mahmud turut terkorban dalam kejadian itu.

Semua pihak menuding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang diberi mengenai peristiwa Memali tidak memuaskan hati, ujarnya dalam satu kenyataan.

Untuk makluman Hadi Awang, Tun Mahathir hanya memberikan jawapan dari segi persepektif tindakan polis dan kerajaan berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika kejadian itu berlaku.

Tetapi, Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis pada waktu kejadian ialah Tun Musa Hitam.

Pada awalnya, dilaporkan Tun Mahathir berada di luar negara ketika itu, namun Tun Musa dalam bukunya, Frankly Speaking mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di dalam negara ketika tercetusnya peristiwa Memali.

Soalnya, apakah hanya kerana Tun Mahathir berada di dalam negara, kesalahan mesti diletakkan sepenuhnya ke atas bahu beliau?

Apakah Tun Musa yang menjadi Menteri Dalam Negeri terlepas sama-sekali daripada pertanggungjawaban semata-mata kerana Tun Mahathir berada di dalam negara?

Adakah kerajaan dan pihak polis saja yang bersalah sepenuhnya dalam peristiwa Memali itu?

Dalam konteks Memali, sejak dahulu lagi sudah ada dakwaan dan cakap-cakap yang meluas bahawa dikatakan sebab lain terjadinya peristiwa tersebut ialah kerana sikap fanatik Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang begitu totok memusuhi UMNO dan kerajaan dan ianya didakwa berpunca daripada Amanat Hadi sendiri yang dilafazkannya pada 1981.

Amanat itu didakwa membentuk sikap taksub sehingga wujudnya amalan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan orang UMNO, meragui keislaman pihak lain dan sedia syahid dengan pihak yang dimusuhi, meskipun sama-sama beragama Islam.

Bolehkah Hadi menjelaskannya secara jujur dan tanpa berselindung perkara itu?

Untuk menjernihkan kekeruhan yang berpanjangan selama ini, mahu tidak mahu, bermakna satu satu lagi program Nothing To Hide perlu diadakan. Mungkin sebuah NGO bebas perlu tampil sebagai penganjurnya.

Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Bersatu baru diadakan Ahad lalu dan berakhir dengan kekecohan di mana selipar, kasut, botol dan kerusi berterbangan bersama bom asap.

Najib juga dijemput untuk duduk sepentas dengan Tun Mahathir kali ini, tetapi langsung tidak memberikan jawapannya. Sehingga ke hari program, Najib ternyata tidak berani berdepan dengan Tun Mahathir dan akhirnya hanya Pengerusi Pakatan Harapan itu tampil seorang diri.

Nothing To Hide 3.0 sudah ditempah oleh Jamal Md Yunus, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Ketua Gerakan Baju Merah yang bakal bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2018 nanti.

Beliau berhasrat untuk mengadakan program tersebut di kawasan Chow Kit dengan menampilkan Azmin Ali, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sebagai jemputan.

Beliau bagaimanapun enggan menjemput Tun Mahathir atas alasan bagi mengelakkan kekecohan seperti di Shah Alam berulang. Jamal juga tidak menamakan siapa pemimpin UMNO yang bakal dijemputnya.

Hmmmm…entah jadi entah tidak Nothing To Hide 3.0 itu atau hanya sekadar gempar Jamal untuk meraih publisiti saja? – ShahbudinHusin

Berikutan Hadi menyalahkan jawapan Tun Mahathir sebagai punca kekecohan dan dalam waktu yang sekian lama Amanat Haji Hadi juga dikaitkan sama, bermakna Nothing To Hide 4.0 adalah amat sesuai dan perlu diadakan dengan mempertemukan kedua-dua pemimpin tersebut untuk menjernihkan segala kekeliruan dan salah tanggap mengenai peristiwa Memali selama ini.

Sediakah Hadi duduk sepentas dengan Tun Mahathir dan berterus-terang kepada seluruh rakyat Malaysia?

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Review sebagai laman penyebar berita.

KLIK TERKINI 2017: Terima balasan jika kamu bunuh polis, Mahathir jawab insiden Memali

KLIK BACA: Siasatan jenayah FBI dan DOJ di Amerika bermula seiring doa dan harapan jutaan rakyat Malaysia

KLIK BACA: Khairuddin fail saman Rosmah, tuntut kembalikan berlian merah jambu

KLIK BACA: “Apakah isteri PM boleh bertindak  memerintah Bank Negara untuk kes peribadi” – Tan Sri Zainuddin

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share