oleh Rafizi Ramli

Dalam bidang kerja saya, memang menjadi kebiasaan saya dimaki hamun, dicaci dan sebagainya. Saya selalunya tidak ambil kisah sangat dan tidak ada kesan pun kepada saya. Saya membaca seberapa banyak komen tetapi tidaklah begitu terkesan.

Jika jelas komen-komen yang dibuat mengandungi unsur lucah, menghina yang terlampau atau ia cybertrooper yang tidak berminat pun untuk mendengar semua pandangan (walaupun keputusan itu hak masing-masing), ada masanya komen sebegitu dibuang atau cybertrooper itu di-block kerana mereka hanya berminat untuk menimbulkan kemarahan dengan kata-kata kesat atau keterlaluan.

Namun sebahagian besarnya saya tidak ambil peduli sangat komen-komen yang bagi orang kebanyakan bunyinya kesat.

Berikut ialah petua menangani pembenci (“haters”) supaya hidup kita tidak terkesan dengan cacian orang lain yang kita tidak kenal dan dia pun tidak kenali.

1) Pembenci itu penyokong kuat Umno yang mengeluarkan kata-kata kesat – Rujuk Specimen A dari Jamilah Milah

Tiada manfaatnya memarahi kakak ini atau cuba meyakinkan kakak ini mengenai kepincangan dalam negara yang menyebabkan kita membangkang Umno/Barisan Nasional. Cara terbaik ialah melawak dengan orang macam ini.

2) Pembenci itu penyokong kuat PAS yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak tepat kebenarannya sehingga cenderong ke arah memfitnah orang lain – Rujuk Specimen B1 dan B2 dari Ariff Ramlan.

Ada baiknya diperbetulkan salah sangka dengan menyatakan kembali perkara-perkara sebenar supaya pembenci itu tidak mengulangi atau menyebarkan kenyataan-kenyataan yang cenderong kepada fitnah untuk membantunya menjauhi dosa.

Dalam kes Ariff Ramlan, dia menuduh saya suka menokok tambah cerita sehingga menjadi fitnah dan selalu kalah di mahkamah (kemudian menyusahkan rakyat dengan meminta derma). Saya harap fakta-fakta berikut boleh memperbetulkan salah sangka tersebut:

i) Setakat ini dari 6 kes saman yang dibawa terhadap saya akibat pelbagai pendedahan saya, hanya satu kes yang mahkamah memutuskan kenyataan saya berbaur fitnah iaitu saman kedua yang dibawa oleh NFC/Salleh Ismail terhadap saya (arahan membayar RM300,000 kepada NFC/Salleh Ismail). Saman pertama difailkan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil sendiri tetapi ditarik balik di tengah perbicaraan.

ii) Saman-saman yang lain: Dato’ Seri Zahid Hamidi berhubung skandal tanah LTAT/Deepak (selesai mahkamah dengan baik tanpa permohonan maaf), Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berhubung skandal MARA (saya menang dan Sdr Khairul Azwan diarahkan membayar kos guaman dan kos tambahan kepada saya), LTAT berhubung kelewatan membayar pencen dan urusniaga LTAT & 1MDB (masih dalam proses perbicaraan), Dato’ Seri Najib & Datin Seri Rosmah berhubung penghapusan subsidi minyak (masih dalam proses perbicaraan, DS Najib/DS Rosmah membuat pelbagai permohonan dalam perbicaraan yang menyebabkan perbicaraan belum bermula sehingga kini).

iii) Hakim memutuskan kenyataan saya mengenai pembelian 8 unit hartanah di Ecocity adalah memfitnah bukanlah atas sebab perkara itu (pembelian 8 unit hartanah di Ecocity dengan dana NFC) tidak benar. Teras kepada penghujahan hakim ialah penggunaan perkataan “menyeleweng” di dalam kenyataan saya itu memberi gambaran NFC/suami DS Shahrizat Jalil berlaku tidak jujur apabila menggunakan dana NFC untuk membeli unit-unit hartanah itu.

Hakim memutuskan bahawa sedang fakta kes mengesahkan dana NFC memang digunakan untuk pembelian hartanah itu, tiada bukti yang menunjukkan NFC/suami DS Shahrizat Jalil telah berlaku tidak jujur. Kenyataan saya yang menggunakan perkataan “menyeleweng” (dan bukannya salah guna) telah memberi gambaran NFC/suami DS Shahrizat Jalil telah tidak jujur dan itu dikira satu fitnah.

iv) Perkara di atas terkandung di dalam penghujahan penghakiman yang boleh dibaca SINI

v) Perkara di atas dan penghujahan penghakiman itu dilaporkan oleh FMT baca SINI yang memberi penerangan panjang lebar mengenai penggunaan perkataan “menyeleweng”.

Dalam kes saman DS Najib dan DS Rosmah mengenai penghapusan subsidi, saya tidak pernah meminta maaf kepada mereka, atau menafikan ada cincin-cincin mahal yang dibeli atau memberi alasan “saya bergurau”.

Mereka menyaman saya atas alasan saya mendakwa “DS Rosmah telah menggunakan wang subsidi rakyat untuk membeli cincin”. Saya menjelaskan di dalam kenyatan bela diri bahawa ucapan saya tidak boleh dibaca secara harfiah (“literal”) sedangkan makna ucapan saya ialah bila subsidi dihapuskan oleh DS Najib, keuntungan dari hasil minyak negara pergi terus kepada Perdana Menteri/Menteri Kewangan dan penggunaannya diputuskan oleh Perdana Menteri. Ini menimbulkan risiko pembaziran dan pemborosan dalam keadaan isteri Perdana Menteri memang diketahui terkenal dengan gaya hidup begitu (ada cincin mahal).

Saya menjelaskan dalam kenyataan bela diri bahawa ucapan itu dibuat dalam gaya berseloroh seperti mana ucapan-ucapan ceramah. Perkataan “berseloroh” itulah yang diputarbelitkan oleh pihak tertentu kononnya apabila masuk ke mahkamah, saya mengaku saya hanya bergurau dan meminta maaf kepada DS Rosmah.

Saya tidak terkejut apabila perkara-perkara di atas memang sengaja diada-adakan oleh musuh politik saya yang tidak senang dengan pendedahan saya dan tumpuan saya kepada kes-kes penyelewengan.

Tetapi malanglah kalau jika hanya perbezaan parti menyebabkan kita tidak berhati-hati menyemak terlebih dahulu sehingga kita menuduh sesuatu (seperti Ariff Ramlan di atas) yang cenderong kepada fitnah.

Sebab itu dalam kes seperti Ariff Ramlan, tuduhan kononnya saya suka menokok tambah itu tidak betul. Saya yakin dia tahu dosa pahala kerana dia penyokong kuat PAS.

Jadi cara menangani pembenci sebegini ialah dengan menyatakan perkara dan fakta yang sebenar, moga-moga dia terdetik untuk tidak mengulanginya lagi.

Akan tetap ada yang terus mengulangi perkara-perkara yang cenderong kepada fitnah walaupun telah diberikan maklumat yang tepat.

Petua untuk menangani pembenci sebegini ialah dengan menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT untuk diselesaikan, saya memaafkan mereka semua kerana mereka manusia biasa yang terbawa-bawa dengan perasaan yang terlalu menebal.

*Rafizi Ramli adalah Ahli Parlimen Pandan. Kenyataan media ini adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Review.

KLIK BACAUMNO bawa pengutip cukai lawan Tun Mahathir….kesiannya!

KLIK BACAPeguam Negara tak boleh nafi lagi kini DoJ mulakan siasatan jenayah berkaitan 1MDB

KLIK VIDEO: Raja Bahrin – Siasat Riza Aziz anak tiri Najib, bukan anak Mahathir

KLIK BACA1MDB bayar tambahan AS$50 juta kepada IPIC kenapa, soal Kit Siang

KLIK BACA: Rakyat terpaksa menanggung makan berak mereka!

KLIK BACA: ROBIN HOOD Malaysia punya nawaitu bukan boleh dikira betul – Subky Latiff

KLIK BACA: Mungkin ini punca 1MDB tak boleh bayar IPIC RM2.6 bilion, penjelasan oleh Tony Pua

KLIK TERKINI: Najib duduk rumah, kerja di pejabat yang saya buat, sindir Tun Mahathir



Tolong Komen & Share