oleh A Kadir Jasin

SESIAPA saja yang faham undang-undang dan konvensyen antarabangsa tidak terperanjat tindakan beberapa negara asing menyiasat dan menghukum pihak terlibat dengan penggelapan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka juga tidak akan terperanjat percubaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menemui bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo dan meminta Polis Antarabangsa (Interpol) menangkap pengasas Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown.

Setiap negara ada undang-undang dan konvensyen merangkumi segala aspek kehidupan, khususnya jenayah, keselamatan dan kedaulatan. Melalui perjanjian dan konvensyen antarabangsa, jenayah boleh ditangani secara global.

Undang-undang pula ada dua jenis iaitu jenayah dan sivil. Di sesetengah negara, termasuk negara kita, ada pula undang-undang kaum atau tribal law.

Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) misalnya menggunakan undang-undang jenayah, khususnya berkenaan pengubahan wang haram, bagi menghukum beberapa orang tempatan dan asing terlibat menyalurkan wang dipercayai digelapkan daripada 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika pula memilih menggunakan undang-undang sivil bagi menangani jenayah pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Singapura guna undang-undang jenayah untuk hukum orang-orang terlibat manakala Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) menggunakan saluran sivil melalui apa yang dipanggil Kleptocracy Asset Recovery Initiative (KARI).

KARI undang-undang yang memberikan kuasa kepada kerajaan Amerika mendapatkan balik harta dicuri daripada negara dan rakyat jelata oleh pemerintah. Kleptokrasi bererti kerajaan yang mencuri daripada rakyat jelata. Kedua-dua negara ini terpaksa mengambil tindakan tersebut walaupun pemimpin mereka rapat dengan pemimpin kita kerana jenayah telah dilakukan di wilayah mereka.

Ia tidak ada kena mengena dengan isu campur tangan seperti cuba dijadikan helah sesetengah pihak di negara kita. Ia bukan isu suka atau tidak suka tetapi isu jenayah.

Singapura negara yang bergantung besar kepada industri kewangan dan pasaran modal, tentulah tidak boleh membiarkan wilayahnya diguna untuk menyalurkan wang haram apatah lagi mengubahkannya menjadi wang halal melalui membeli saham, hartanah dan aset-aset lain di buminya.

Begitu juga Amerika. Walaupun ia mengalu-alukan pelaburan asing, ia tidak membenarkan wang haram dan wang curi digunakan untuk membeli harta di wilayahnya.

Singapura telah pun membicarakan dan menjatuhkan hukuman denda dan penjara, membekukan aset dan menutup dua bank yang terbabit.

Di Amerika pula, buat masa ini DoJ sekadar meminta mahkamah membenarkannya merampas aset-aset yang dibeli dengan duit 1MDB. Dalam kata-kata lain, DoJ percaya duit 1MDB itu adalah duit curi.

Sekarang ia telah kemukakan dua saman sivil untuk mendapatkan semula aset dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah AS$1,540 bilion (kira-kira RM6,930 bilion). Ini adalah sebahagian daripada AS$3.5 bilion (RM15.75 bilion) yang dipercayai digelapkan daripada 1MDB.

Malaysia dan 1MDB bukanlah kes pertama dibicarakan di bawah KARI. Banyak negara dan orang asing dikenakan tindakan serupa cuma kes 1MDB adalah terbesar.

Misalnya pada 2015 DoJ telah berjaya merampas dan memulangkan AS$1.12 juta (RM5.04 juta) harta bekas Presiden Korea Selatan, Chun Doo-hwan. Harta itu dirampas di Selatan California dan Philadelphia di mana pihak berkuasa menemui sebuah rumah di Newport Beach dan pelaburan di dalam sebuah syarikat di Pennsylvania berkaitan anaknya, Chun Jae Yong.

Duit itu dipulangkan kepada kerajaan yang menggantikan Chun Doo-hwan. Begitu juga rampasan lain di bawah KARI yang membabitkan beberapa orang diktator dan bekas diktator di Afrika.

Singapura dan Amerika tidak mendapat apa-apa faedah daripada tindakan mereka itu selain daripada membersihkan nama dan mempertahankan kewibawaan mereka. Untuk itu mereka sanggup menanggung padah difitnah pihak-pihak berkepentingan di Malaysia.

Kalau kita celik undang-undang dan tidak buta sejarah, kita tentu tahu yang negara kita sendiri pernah mengambil risiko dikutuk dunia demi melaksanakan undang-undang iaitu apabila kita menjalankan hukuman gantung ke atas dua warganegara Australia, Kevin John Barlow dan Brian Geoffrey Shergold Chambers, kerana mengedar dadah.

Sebaik-baiknya kita janganlah mencuri apatah lagi duit rumah anak yatim atau tabung masjid. Kita rakyat jelata Malaysia sepatutnya berasa malu kerana negara-negara bukan Islam nampaknya lebih serius membantu kita mendapatkan balik wang yang digelapkan daripada 1MDB itu. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin adalah bekas ketua pengarang NST dan tokoh wartawan negara. Artikel pertama kali disiarkan di kolum beliau Sinar Harian Online. | Foto kredit The Malaysian Times

KLIK BACASumpah Mahathir kebudak-budakan, adakah Najib pernah bersumpah kebudak-budakan juga?

KLIK BACA: Tidak lindungi Najib, Dr Mahathir cabar Apandi junjung al-Quran bersumpah dalam masjid

KLIK BACA: Apandi kena nasihat Kit Siang guna ayat Al Quran

KLIK BACA: Tun Mahathir soal AG jika benar Najib tak salah kenapa laporan Audit, SPRM dan BNM dirahsiakan!

KLIK BACA: Buka semula kes Scorpene demi keadilan Altantuya, Sirul – AMK 

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? – Tan Sri Sanusi Junid

KLIK VIDEO: PH jadi kerajaan bukan untuk beli berlian jutaan ringgit beri isteri, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: Jabatan Kehakiman Amerika malu jika membisu mengenai MO1, 1MDB – Tan Sri Adam Kadir