oleh Nurul Izzah Anwar | 20 Julai 2017

Di sebalik Deklarasi London

IZINKAN saya menyorot kembali pertemuan terkini di antara saya dan Tun Dr Mahathir, mantan perdana menteri merangkap rakan-seteru politik ayahanda tersayang, Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang kini terkenal selaku tahanan politik Malaysia.

Bertempat di kota London, yang menemukan insan-insan sewarga sedang di perantauan, mengambil semangat Syawal dalam menumpukan kepada pembentukan sebuah pakatan berasaskan reformasi demi Malaysia yang terjamin.

Malangnya, pertemuan ini disalahertikan. Ia berpunca pasca berita bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamadd telah mencapai kata sepakat membentuk barisan reformasi pembangkang menentang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jelas, asbab utama pertemuan adalah usaha konsisten yang mengutamakan negara daripada kepentingan ataupun kesengsaraan peribadi; dan ini petunjuk jelas bahawa mereka yang berada dalam tampuk kekuasaan gentar dengan kesatuan ini.

Batu asas untuk strategi BN telah dan akan terus berlandaskan konsep kolonial British yakni pecah dan perintah.

Kebergantungan kepada strategi pengundi hantu, dakwat ‘tak kekal’, membeli undi, dan persempadanan semula yang tidak sah – memperlihatkan agenda murahan untuk memecahbelahkan barisan pembangkang yang akhirnya mungkin membawa kepada perlawanan tiga atau empat penjuru.

Pada 2008, umum maklum bahawa Anwar telah mengepalai barisan Pakatan Rakyat dan mencatat rekod tertinggi pencapaian pembangkang di Malaysia.

Bahkan, bertambah lagi dengan perolehan 52% majoriti melalui undi popular pada 2013 (meskipun setelah hampir 40% kerusi-kerusi yang mengalami ger-rymandering/ persempadanan semula yang tempang).

Walhasil, dua tahun kebelakangan ini memperlihatkan momokan dan manipulasi BN terhadap pemimpin kanan Pas menerusi acah-tidak-acah / bahas-bukan lulus RUU 355, menyebabkan parti Pas menjauhi barisan pembangkang.

Dengan penarikan sebegini, BN mungkin beranggapan bahawa mereka telah berjaya melumpuhkan barisan pembangkang. Namun, terdapat beberapa pencetus upaya ke arah reformasi dan keadilan sebagai satu wadah penambahbaikan demokrasi di Malaysia.

Tumpuan-tumpuan demi mencapai kemenangan adalah (1) pemisahan antara Parti Amanah daripada Pas, (2) penyatuan antara Amanah dan DAP serta parti Keadilan-Anwar, tambahan (3) perpecahan dari BN yang diketuai oleh tak lain tak bukan mantan Perdana Menteri Tun M melalui pembentu-kan parti Bersatu.

Sementelah, pelbagai persefahaman dan rundingan melalui dukungan dan sepakat telah dilakukan serta diterima secara baik antara komponen parti-parti serta pemimpin Bersatu.

Dengan jangkaan mengetepikan hasad politik dan permainan kuasa telah membawa sebuah formaliti kesatuan “3+1” pakatan. Ternyata, BN kecewa dengan kejayaan ini.

Kesimpulannya jelas, sesiapa sahaja yang mencari alasan untuk memecah-belah pakatan, hanya akan memberi kelebihan kepada pemerintahan sedia ada, dan membenarkan rejim semasa bernafas lebih lama hanya kerana ketidakupayaan kita untuk bersatu.

Justeru, pelebaran sayap barisan pembangkang akan berdiri teguh di atas prinsip keadilan dan reformasi. Bayangkan, barisan pimpinan seperti Anwar, Tun Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Lim Guan Eng, Datuk Seri Azmin, Lim Kit Siang, Mat Sabu, Datuk Husam, Mukhriz, Rafizi dan kesemua adiwira ahli politik di Malaysia berganding bahu.

Nah, kesemua ini bakal diraih bersama jika barisan pembangkang mahu dan mampu berdiri bersama di atas paksi kesepakatan Harapan ke arah keadilan dan reformasi.

Rakyat hanya bisa dilindungi melalui proses demokrasi yang tulen dan institusi yang bebas, berkhidmat seperti benteng yang kukuh menentang rasuah dan kerajaan yang kuku besi.

Bahkan, alangkah moleknya jika akar umbi parti Pas mampu menyeru agar kepimpinan mereka turut serta dalam agenda keberlangsungan pakatan reformasi supaya berada bersama pihak yang benar, setidak-tidaknya sebagai pakatan dalam PRU.

Ini semua tak akan berlaku tanpa usaha berpanjangan dan jiwa besar pemimpin yang berpengalaman, lagi bertauliah.

Pertemuan saya dan Tun Dr Mahathir di London diharapkan menjadi langkah tuntas dalam membulatkan tekad dan persefahaman antara gerakan kami.

Saya yakin dan percaya bahawa struktur akhir bakal dipersetujui bersama, asal sahaja berlangsung dengan tenang dan sentiasa mengutamakan kebajikan dan masa depan rakyat.

Kita sedang menuju ke garisan penamat, dengan serangan peribadi bertubi-tubi oleh BN adalah indikator yang jelas – bahawa kami, Insya-ALLAH, sedang berada di landasan yang benar.

*Artikel pertama kali disiarkan di ruang kolum Sinar Harian oleh Nurul Izzah Anwar anggota Parlimen Lembah Pantai.

KLIK BACASumpah Mahathir kebudak-budakan, adakah Najib pernah bersumpah kebudak-budakan juga?

KLIK BACA: Tidak lindungi Najib, Dr Mahathir cabar Apandi junjung al-Quran bersumpah dalam masjid

KLIK BACA: Apandi kena nasihat Kit Siang guna ayat Al Quran

KLIK BACA: Tun Mahathir soal AG jika benar Najib tak salah kenapa laporan Audit, SPRM dan BNM dirahsiakan!

KLIK BACA: Buka semula kes Scorpene demi keadilan Altantuya, Sirul – AMK 

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? – Tan Sri Sanusi Junid

KLIK VIDEO: PH jadi kerajaan bukan untuk beli berlian jutaan ringgit beri isteri, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: Terharu komitmen Pakatan Harapan bebaskan Anwar dari penjara – Ana ghoib



Tolong Komen & Share