TMJ cabar skuad polo sukan SEA yang turut disertai Khairy berlawan menentang Kelab Polo DiRaja Johor

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar skuad polo Sukan SEA menentang Kelab Polo Diraja Johor dalam usaha menghentikan spekulasi berhubung isu membabitkan sukan itu.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, pasukan Kelab Polo Diraja Johor terdiri daripada adiknya Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, 2 pemain dan beliau sendiri.

TMJ berkata, beliau dimaklumkan mengenai kenyataan media pengurus skuad polo negara, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim yang berpendapat sesetengah individu layak mewakili negara pada Sukan SEA akan datang.

“Bukankah saya pernah mengalahkan pasukan yang Datuk wakili dulu sebanyak 10-0 dan 11-0 semasa satu pertandingan polo di Pekan, Pahang?

“Macam mana anda boleh mewakili negara? Saya ingat hanya seorang sahaja yang melobi mewakili negara, rupa-rupanya ramai lagi yang melobi untuk mewakili negara ke Sukan SEA.

“Negara kita pada masa ini perlu diurus mengharungi pelbagai cabaran global, tetapi masih lagi terdapat individu-individu yang masih melobi hinggakan hal-hal sukan dicampuradukkan dengan politik demi kepentingan diri,” katanya.

Baginda mengulas kenyataan Zekri semalam yang berkata, seperti atlet lain, Khairy Jamaluddin tidak diberi keistimewaan, sebaliknya perlu melalui proses pemilihan ketat sebelum terpilih mewakili negara di Sukan SEA ke-29, bulan depan.

Bendahari Persatuan Polo Diraja Malaysia itu berkata, Khairy bermain polo dan menyertai perlawanan antarabangsa sebelum menjadi menteri dan beliau turut menunjukkan komitmen tinggi untuk turut sama menjalani latihan di Pekan, Pahang. – FMT

Ulasan oleh penulis buku politik Shahbudin Husin.

Selain cabaran Tun Mahathir Mohamad kepada Najib Razak agar berani menangkapnya, ini ada satu lagi cabaran yang sensasi dan ditunggu-tunggu oleh semua.

Kali ini TMJ mencabar KJ pula.

Tunku Mahkota Johor mencabar pasukan polo sukan SEA yang turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar berlawan dengan Kelab Polo Diraja Johor yang dianggotai oleh baginda untuk menghentikan spekulasi berhubung kelayakan pasukan tersebut.

Tentunya ramai yang tertunggu-tunggu untuk menyaksikan perlawanan tersebut jika KJ sedia atau berani menyahutnya.

Malah, lebih menarik jika ada mana-mana saluran TV sedia membuat siaran langsung mengenainya.

Dalam nukilan terbukanya sebelum ini, TMJ antara lain menulis kata-kata yang penuh makna, “Ia telah menjadi tempat di mana ahli-ahli politik mahu menjadi selebriti dan ahli sukan.

“Di mana seseorang yang tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo boleh dipilih untuk mewakili negara”,

Baginda kemudian meneruskan tulisannya, “Di mana individu yang tidak menjalani latihan ketenteraan yang sebenar boleh menjadi seorang Jeneral. Sebuah negara di mana institusi perlahan-lahan kehilangan identitinya.”

Selepas menulis ungkapan-ungkapan yang sebenarnya tidaklah sukar difahami ditujukan kepada siapa dan kemudian menyusulinya dengan cabaran berlawan polo, TMJ benar-benar menunjukkan sikap jantannya.

Kalau pasukan TMJ dapat dikalahkan dalam perlawanan itu, barangkali tidak ada sesiapa lagi yang akan mempertikaikan keupayaan pasukan dan penyertaan KJ dalam team polo sukan SEA nanti.

Tetapi, sekiranya berlawan dengan pasukan TMJ pun tidak boleh menang, apatah lagi jika kena 11-0 atau 10-0, bak kata pesanan orang muda-muda zaman sekarang….”anak itik makan pengat, sendirilah mahu ingat”.

Apa macam Brigidier Jenderal KJ, ada berani?

Ada masalahkah untuk sama-sama bersikap jantan seperti yang ditunjukkan oleh TMJ?

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak mewakili pendirian Malaysian Review sebagai laman penyebar berita.

KLIK BACA: Tun Mahathir cabar Najib tangkaplah…

KLIK BACA: Adakah Zahid mahu lebih banyak pekung Najib didedah kepada umum? Shahbudin Husin

KLIK BACAApa motif Utusan siar video Dr Mahathir, Tunku Abdul Rahman?

KLIK BACA: Muhyiddin ulas keluhan TMJ apa sudah jadi Malaysia? mereka tiada sedikit pun rasa malu…

KLIK BACA: Dr Mahathir kritik hingga Najib hilang sabar, kata Zahid

Tolong Komen & Share