KUALA LUMPUR, 10 Jun — AirAsia X Bhd, cabang penerbangan jarak jauh AirAsia Group, merancang untuk mengumpulkan sehingga RM859.3 juta menerusi tawaran awam awal (IPO) untuk penyenaraian di Papan Utama di Bursa Malaysia Securities.

Jumlah itu adalah pada harga andaian institusi dan runcit RM1.45.

AirAsia X, yang dicadangkan untuk disenaraikan secara rasmi pada 10 Julai, 2013, merancang untuk menggunakan 33.3 peratus atau RM285.809 juta daripada tunai yang dikumpulkan untuk membuat bayaran semula pinjaman bank, sementara baki 32.6 peratus (RM280 juta) telah diperuntukkan bagi perbelanjaan modal sepanjang 24 bulan.

Ditubuhkan pada 2006, syarikat penerbangan jarak jauh itu juga merancang untuk menggunakan kira-kira RM255 juta daripada hasil untuk modal kerja.

Penyenaraian AirAsia X akan menjadi IPO terbesar di Malaysia tahun ini.

AirAsia X IPO dilancarkan bersama hari ini oleh ketua pegawai eksekutif kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak, CEO AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes, Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz dan CEO AirAsia X Azran Osman-Rani.

IPO itu melibatkan sehingga 790,123,500 saham biasa RM0.15 setiap satu di AirAsia X.

Ia termasuk tawaran jualan untuk sehingga 197,530,900 saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 592,592,600 saham baharu. — Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share