Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa polis menyiasat kumpulan ajaran sesat diketuai lelaki mengaku Imam Mahdi – Foto FMT

IPOH – Kerajaan Perak meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan berhubung sebuah kumpulan ajaran sesat di negeri ini, yang dikatakan sedang mengembangkan pengaruhnya ke seluruh negara.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kumpulan itu.

“Bagaimanapun, kita minta pihak berkuasa supaya memantau perkembangan ini… sekiranya wujud (kumpulan ajaran sesat itu), ambil tindakan,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri memandang serius perkara itu.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Lembaga Air Perak di sini, hari ini.

Zambry mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada Sabtu lalu yang melaporkan kumpulan itu diketuai seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahdi, yang bercadang mewujudkan kumpulan bersenjata digelar Tentera Mahdi.

Laporan itu menyebut kumpulan berkenaan sedang mempengaruhi orang ramai dengan menggunakan pengaruh seorang ulama untuk menarik lebih ramai orang awam untuk menyertai kumpulan itu.

Kumpulan itu didakwa mengumpulkan senjata untuk berperang dan mereka dikatakan sedang bersiap sedia untuk berbaiah dengan Imam Mahdi di Mekah, Arab Saudi.

Akhbar berkenaan turut melaporkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta pihak polis supaya segera mengambil tindakan undang-undang bagi membendung ajaran sesat berkenaan daripada terus berkembang. – Bernama

KLIK BACA: Dunia diancam keganasan, Najib pemimpin yang Malaysia perlukan, kata Tunku Aziz

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share