Semua kakitangan wanita KFC yang beragama Islam di Kelantan akan diwajibkan berpakaian menutup aurat seperti arahan kerajaan negeri. – Foto www.come2kelantan.my

KUALA LUMPUR ― KFC Malaysia mengesahkan sudah mengeluarkan arahan baju berlengan panjang kepada kakitangan wanita restoran itu di Kelantan.

Jurucakap restoran makanan segera itu berkata pakaian seragam baharu diperkenalkan pada April selepas rundingan diadakan bersama kerajaan negeri Kelantan.

“Syarikat kami tiada masalah melaksanakan peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri Kelantan.

“Kami akan memastikan pekerja wanita memakai seragam itu setiap masa,” katanya lapor New Straits Times.

Kelantan menetapkan pekerja wanita Islam di restoran makanan segera dan pasar raya memakai baju berlengan panjang bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kelantan berkata seragam baharu itu perlu menutup aurat pekerja wanita, termasuk tidak berseluar ketat.

Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata pekerja bukan Islam tidak tertakluk dengan peraturan berkenaan tetapi dinasihatkan berpakaian sopan.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE