Syarikat Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) perlu berhenti memberi alasan dan membayar sahaja tunggakan gaji pekerjanya.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) mendakwa ia mempunyai bukti menunjukkan Eaglexpress tidak memenuhi kewajipan membayar gaji pekerja.

Menurutnya, ini adalah kali kedua Eaglexpress gagal membayar gaji pekerjanya di mana kes pertama berlaku pada 2013.

Nufam berkata, ramai pekerja Eaglexpress mengadu kepada kesatuan yang mereka tidak dibayar gaji atau kerap terima bayaran lewat dan majikan mereka gagal mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso sejak tahun lalu.

“Alasan yang diberikan pihak pengurusan yang mereka hadapi masalah kewangan atau mereka bayar separuh gaji amat mengelirukan dan tidak munasabah.

“Bagaimana syarikat penerbangan boleh beroperasi jika ia tidak mempunyai wang?” soal kesatuan itu.

Jelasnya, tidak munasabah jika pihak pengurusan atas dibayar gaji tetapi pekerja bawahan tiada gaji.

Menurut Nufam, pihak pengurusan Eaglexpress juga tidak membalas e-mel daripada pekerja berhubung isu itu dan pekerja tidak mendapat penyata gaji sejak Mac tahun ini.

Sehubungan itu, Nufam mendesak Eaglexpress membayar gaji pekerja, caruman KWSP dan Perkeso atau menghentikan operasi sehingga perkara itu selesai dan semua kru kabin menerima gaji dan tunggakan mereka.

“Macam mana keluarga dan anak-anak pekerja Eaglexpress hendak menyambut hari raya tanpa gaji mereka? Apa yang mereka hendak makan?” katanya.

Awal minggu ini, Eaglexpress menolak dakwaan ia tidak membayar gaji pekerja sejak tiga bulan lalu.

Sebaliknya, seorang jurucakapnya menegaskan, syarikat itu menggunakan simpanan mereka untuk membayar gaji pekerja dan “pihak-pihak” lain meskipun tidak mempunyai sebarang perniagaan sejak awal tahun ini.

“Gaji dua bulan lepas kami tidak bayar penuh. Sebaliknya, kami bayar beberapa bentuk elaun kepada mereka yang membuat permintaan itu,” katanya sambil menambah ia termasuk mereka yang berada di peringkat pengurusan atasan. – FMT


Tolong Komen & Share