Model Civic generasi ke-10 tampil dengan satu deklarasi yang cukup berani seperti ‘Best Ever’, ‘‘Most Impressive’ dan ‘Most Powerful’.

Mungkin ingin membangkitkan keterujaan dalam kalangan peminat Honda dan menarik perhatian pesaing mereka.

Langkah iklan itu sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi pengguna tempatan. Tidak hairan dalam tempoh sebulan, Honda Malaysia sudah menerima 1,400 unit tempahan. Bahkan, pengedar rasmi jenama Honda di Malaysia itu begitu optimis dengan sasaran jualan sebanyak 1,200 sebulan.

Jika dilihat dari segi rekaan, Civic tampil begitu berbeza berbanding generasi sebelumnya. Sentuhan elegan itu hasil penglibatan penyelidikan dan pembangunan Honda Amerika Syarikat.

Apa yang perlu anda ketahui, model tersebut lebih besar. Cukup lapang bagi pengguna saiz Asian. Civic lebih panjang 105 milimeter (mm) iaitu 4630mm dan lebih lebar 45mm serta jarak rodanya ditarik sebanyak 30mm menjadi 2700mm. Untuk kelihatan lebih sporty, posisi duduk menjadi lebih rendah.

Dari segi rekaan, Honda menggunakan filosofi Exciting H Design yang diguna pakai tiga tahun lalu. Ia merangkumi identiti reka bentuk ‘Solid Wing Face’ dan lencana ‘H’ pada gril hadapan. Satu pendekatan ke arah imej korporat.

Civic baharu tampil lebih anggun dengan bonet panjang dan overhang hadapan sporty. Ini memberikan imej atlet yang agresif. Bahagian belakang memiliki unit pencahayaan berbeza yang menjadi identiti Civic. Rekaan lampu boomerang itu memberikan pandangan bergaya.

Malah, Civic juga yang pertama menggunakan lampu hadapan LED penuh dengan lampu nyalaan siang LED.

Di pasaran tempatan, Honda Malaysia menawarkan tiga varian iaitu 1.5TC dan 1.5TC-P yang dijana enjin 1.5 liter (L) VTEC pengecas turbo. Sementara, varian 1.8S dijana enjin 1.8L i-VTEC. Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear CVT untuk pengalaman pemanduan lancar dan menjimatkan bahan api.

Seperti CVT, pengecas turbo (yang mempunyai pengurusan wastegate elektrik) adalah milik Honda sendiri.

Oleh kerana suhu operasi yang tinggi daripada enjin turbo, kondisi minyak enjin adalah penting untuk memastikan enjin kekal lancar dan dilindungi. Atas sebab ini, Monitor Smart disediakan. Ia mengesan gaya pemanduan lalu monitor akan menghantar mesej untuk penukaran minyak lebih awal berbanding selang servis 10,000 kilometer.

Bagi pengendalian di tahap terbaik, struktur badan Civic lebih ringan 22 kilogram dan lebih tegar dan keras. Bahagian suspensi masih menggunakan topang MacPherson dan multi-link.

Sementara itu, ciri bising, getaran dan kekasaran (NVH) dikatakan lebih senyap. Penglihatan ke hadapan dikatakan mendahului kelasnya dengan sudut pandangan 84,31 darjah. Terima kasih kepada tiang-A lebih nipis. Manakala struktur papan pemuka baru memberikan lebih banyak ruang lutut untuk pemandu.

Kawasan kokpit berubah sepenuhnya. Menerusi konsep dua tingkat memberikan susun atur lebih baik.

Civic menawarkan “Teknologi Maju Terhubung” (Advance Interface) menerusi Paparan Audio Terkini bersaiz tujuh inci bersama ciri terkini Remote Engine Start, Walk Away Auto Lock, Electric Parking Brake dan Auto Brake Hold.

Dari segi keselamatan, Civic dilengkapi enam beg udara, Vehicle Stability Assist, Anti-Lock Braking System, Electronic Brake Distribution, Brake Assist, Hill Start Assist, Emergency Stop Signal dan Isofix.


Tolong Komen & Share