Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS), Christoph R Mueller yang bakal meninggalkan firma penerbangan nasional itu pada bulan September ini, berkongsi pengalamannya ketika mula-mula dilantik menerajui syarikat tersebut.

“Di sebalik pelbagai pengumuman kerajaan, pemulihan MAS tidak dilaksanakan ketika saya mula-mula menjadi CEO.

“Ramai di kalangan 20,000 kakitangan yang bekerja untuk syarikat itu tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan.

“Malah, ketika saya berjalan di hangar, ada pekerja yang tidur. Sebab itu, saya terpaksa radikal mengurangkan 6,000 pekerjaan,” kongsi Muller kepada stesen penyiar Jerman, Deutsche Welle (DW) menerusi portal webnya.

Sambil menyifatkan usaha memulihkan MAS dan menjana keuntungan untuk firma itu bukanlah cabaran paling sukar buatnya setakat ini berbanding ketika menerajui Belgian Airline Sabena, Mueller menambah, masalah utama firma itu ialah pengurusan kakitangan yang lemah.

Selain berdepan dengan jumlah tenaga kerja yang sangat berlebihan, kemelut yang melanda MAS diburukkan lagi dengan rantaian bekalan yang terlalu banyak dan begitu mahal.

Sebahagiannya adalah kerana MAS bertindak membeli produk daripada para pembekal pada harga 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, jelasnya.

“Segala-galanya dari sebatang pen kepada pesawat berharga AS$200 juta telah dibeli pada kadar ini. Saya tidak mengatakan bahawa kami perunding yang teruk, dalam mana-mana rasuah boleh dihukum juga di Malaysia,” katanya.

Ketika beliau mula menyertai MAS, syarikat itu mempunyai kira-kira 20,000 pembekal dan ekoran lebih tersebut, pihaknya sukar untuk diskaun secara pukal.

“Sejak saya mengambil alih, kami telah berjaya mengecilkan jumlah tersebut kepada kira-kira 4,000 pembekal. Dan kami menyasarkan adalah untuk mengurangkan lagi kepada 2,000 pembekal. Dengan cara ini, kami telah mengurangkan kos perolehan kami,” katanya.

Dengan pembaharuan pengurusan yang beliau telah dilaksanakan di MAS, beliau yakin MAS akan kembali menjana keuntungan pada tahun 2018.

“Secara rasminya, kami menjangkakan untuk pulang modal pada tahun 2018. Pada tahun ini, MAS masih berada dalam kedudukan merugikan, tetapi jauh lebih baik dari unjuran awal.

“Mungkin MAS boleh mencapai pulang modal sebelum itu lagi, jika harga minyak masih kekal rendah. Tetapi itu hanya spekulasi. Lebih dari itu, kapal kami kembali berada di landasan semula,” jelasnya lagi.

Dalam wawancara dengan DW itu juga, Mueller turut menyedari bahawa MAS bukan sebuah firma yang biasa, sebaliknya mempunyai elemen kebanggaan warisan.

“Ia dikenali sebagai simbol perkhidmatan pelanggan Asia. Melihatkan suasana ekonomi makro Malaysia, dengan pertumbuhan ekonomi lebih lima peratus secara purata untuk 55 tahun sehingga sekarang, MAS berpotensi untuk menjana keuntungan.

Bagaimanapun, firma tersebut ditimpa pelbagai kecelakaan sejak kebelakangan ini manakala banyak projek-projek pemulihan telah dilaksanakan separuh jalan. – Malaysiakini

KLIK BACA: Tun Mahathir – Kalau ahli Umno tak mahu faham tentu tak faham!

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share