GEORGE TOWN: Percubaan seorang lelaki muda berpakaian seragam juruterbang untuk menerbangkan kapal terbang digagalkan selepas dikesan dia bukan juruterbang sebenar.

Menurut laporan Mstar, lelaki yang baru berusia 18 tahun itu mengambil penerbangan dari Hong Kong ke Pualau Pinang dan memberitahu krew kapal bahawa dia baru sahaja selesai mengendalikan penerbangan dari San Francisco.

Dia juga meminta untuk bercakap dengan juruterbang selepas pesawat itu tiba di Pulau Pinang.

Ketika itu, remaja tersebut berpakaian seragam lengkap juruterbang; kemeja putih dengan pangkat di bahu, seluar panjang hitam dan tali leher hitam menaiki penerbangan kelas perniagaan selain membawa lanyard dan bagasi dengan logo syarikat penerbangan pesawat yang dinaikinya.

Bak kata, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah, krew penerbangan berjaya mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila dia memesan segelas koktel memandangkan minuman beralkohol dilarang oleh syarikat penerbangan untuk krew dan juruterbang yang bertugas.

Malah, remaja itu juga gagal menunjukkan dokumen pengenalan untuk pengesahan, serta tidak memberi nombor pengenalan juruterbang yang betul mencurigakan lagi keadaan.

Ekoran itu, dia dihalang menghampiri kokpit dan telah diserahkan kepada pegawai Imigresen apabila tiba di Pulau Pinang.

Dia akhirnya mengaku bukan seorang juruterbang sebenar tetapi memakai baju seragam dan barang milik bapa tirinya yang didakwanya adalah seorang juruterbang dengan syarikat penerbangan tersebut.

Siasatan mendapati, dia yang mengakui berdarah Afrika Selatan, mengambil penerbangan ke Pulau Pinang dari Hong Kong dengan berpakaian juruterbang pada 31 Mac lalu dan tiba Pulau Pinang pada petang yang sama.

Sumber Jabatan Imigresen Pulau Pinang memberitahu dia telah diserahkan kepada jabatan itu oleh kakitangan syarikat penerbangan itu dan dihantar pulang ke Hong Kong pada 2 April.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin berkata tiada laporan polis dibuat mengenai kejadian itu. – FMT

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share