ALOR GAJAH – Walaupun menunjukkan sijil perkahwinan mereka, namun sepasang ‘suami isteri’ dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang membuat serbuan di sebuah hotel di sini, kira-kira 1.30 pagi semalam.

Ini kerana, sijil perkahwinan yang dikeluarkan di sebuah negeri di utara itu meragukan.

Lelaki berusia 51 tahun dan pasangannya berumur 45 tahun itu disyaki terlibat sindiket pernikahan tidak sah walaupun kedua-duanya mengaku bernikah di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor, kira-kira sebulan lalu.

Ketika disoal siasat, lelaki berasal dari Johor dan ibu tunggal beranak lima dari Kelantan itu mendakwa membuat bayaran RM4,000 sebelum dinikahkan.

Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, dokumen pernikahan perlu dikeluarkan pendaftar nikah dan cerai sesebuah negeri tempat di mana pasangan bernikah.

“Tetapi dalam kes ini, sijil nikah pasangan tersebut dikeluarkan pendaftar nikah dan cerai di utara Malaysia yang jelas tidak selari dengan pengakuan mereka bernikah di Shah Alam pada 22 Mac lalu.

“Kita syaki mereka terlibat dengan sindiket pernikahan tidak sah dan sijil pernikahan palsu berikutan pasangan itu membayar RM4,000 sedangkan urusan pendaftaran pernikahan atau upah nikah membabitkan kos yang tidak sampai RM100,” katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit kemudian dibawa ke pejabat penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat sindiket berkenaan selain melakukan kesalahan bersedudukan.

“Mereka berdua antara enam pasangan ditahan dalam operasi melibatkan 10 anggota penguat kuasa selama hampir lima jam bermula 12 tengah malam di enam buah hotel dan rumah di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

“Lima pasangan lain berusia 18 hingga 43 tahun turut ditahan selepas dipercayai bersedudukan ketika serbuan di tiga buah hotel bajet di sekitar Alor Gajah dan sebuah rumah di Batu Berendam, Melaka Tengah dalam operasi yang berakhir jam 4.30 pagi,” katanya di sini, semalam.

Dalam operasi itu juga, Rahimin berkata, seorang lelaki berusia 18 tahun dan pasangannya pula berumur 21 tahun ditahan ketika pemeriksaan bilik di sebuah rumah pangsa di Batu Berendam, kira-kira jam 4 pagi. – Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share