Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat menafikan beliau antara calon yang akan menggantikan Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu.

Menurutnya, beliau sendiri tidak mendapat apa-apa maklumat setakat ini dan sebarang berita yang disebarkan mengenai dirinya dalam isu pertukaran Menteri Besar adalah tidak benar.

“Tidak, tidak ada benda-benda ini, saya sendiri tidak dapat apa-apa maklumat lagi,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Sebelum ini, khabar angin mengenai Rozi ataupun ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee akan dilantik menjadi Menteri Besar dan upacara angkat sumpah akan dilakukan pada minggu hadapan, tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Rozi Telemong 90% confirm angkat sumpah minggu depan sebagai MB baru. Tapi sekarang ada dua nama Dato Mad Jidin dan YB Rozi. Semua Ahli Dewan Diraja dan Yang Arif Mahkamah Tinggi telah bersedia dimaklumkan tentang hari Angkat Sumpah,” demikian antara kandungan mesej yang disebarkan itu.

Rozi yang juga EXCO Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu mengakui tidak tahu mengenai status penarikan gelaran dan kedudukan Ahmad Razif.

“Saya tidak tahu, kita tidak tahu secara lanjut. Kita hanya bekerja seperti biasa sahaja,” katanya lagi.

KLIK BACA: Najib dijangka menghadap Sultan Mizan

Isu penarikan gelaran dan kedudukan Ahmad Razif mula tersebar di media sosial apabila beliau yang menghadiri dua majlis di Kampung Sura Jetty, Dungun dan pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, tidak disebut gelaran oleh pengerusi majlis berkenaan.

Selain itu, ketika menghadiri Persidangan Waqaf Senusantara 2016 yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Primula Beach Resort, nama Ahmad Razif hanya disebut “Yang Amat Berhormat Menteri Besar”.

Malah, kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar menjadi persoalan apabila pihak Istana Terengganu dikatakan menarik balik semua gelaran kebesaran yang dianugerahkan kepada beliau.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan daripada pihak istana berhubung tindakan tersebut, namun ia dikaitkan dengan ucapan beliau ketika menghadiri sebuah majlis bersama Sultan Mizan.

Ahmad Razif ketika membacakan teks ucapan itu didakwa berkata Kerajaan Terengganu lebih banyak membantu rakyat berbanding pihak Yayasan Diraja Sultan Mizan, sekaligus membangkitkan kemurkaan Sultan Mizan. – Free Malaysia Today 

KLIK BACA: “Arul perlu dedah rahsia 1MDB jika mahu hidup tenang” – Tuan Ibrahim Tuan Man

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE