Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mungkin dipuji oleh ramai orang kerana kesabaran beliau, satu sifat yang beliau sendiri akui dimilikinya.

Tetapi di bawah semua kesabaran dan sifat toleransi yang dikatakan itu, Najib mengakui bahawa beliau juga ada hadnya dan akan bertindak kalau ia melampaui batas.

Bercakap di majlis memperingati 40 tahun penglibatan beliau dalam politik, Najib menjelaskan bahawa keupayaannya untuk meneruskan kerjanya dalam politik mungkin disebabkan oleh sifat kesabarannya.

“Tetapi saya nak bagitau, saya penyabar tetapi ada had juga.

“Jangan fikir boleh buat sesuka hati. Jangan fikir saya tak akan bertindak kalau melampaui batas,” katanya di majlis itu anjuran Kelab Sahabat Najib Razak (N87).

Najib menegaskan bahawa apabila beliau bertindak, “ia mestilah berdasarkan kepada fakta, parti dan kerajaan”.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, tetapi beliau dengan jelas merujuk kepada pengkritiknya dalam Umno.

Selepas kritikan semakin meningkat terhadap pengendalian Najib dalam krisis 1MDB, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal telah dipecat daripada jawatan masing-masing pada tahun lepas.

Manakala bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga disingkirkan daripada jawatannya sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri kerana kritikan yang sama terhadap Najib.

Manakala Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM), pula sedang menunggu tindakan disiplin daripada parti kerana mendesak pengunduran Najib.

Sementara itu, Najib berkata kalau hendak menegur, ada tempat dan caranya untuk berbuat demikian.

“Jangan tegur merosakkan parti. Dah lah cukup dengan musuh di luar.

“Jangan pula ada musuh dalam selimut, musuh dalam seluar lagi teruk,” katanya.

Najib juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah cuba untuk “menjatuhkan” sesiapa semasa pemilihan parti.

“Bila ada kekosongan baru tawarkan diri untuk bertanding.”

Najib juga berkata bahawa beliau tidak pernah membeli undi untuk mendapatkan sokongan ahli parti.

“Kalau tak percaya, tanyalah (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau adalah setiausaha politik saya pada tahun 1986,” kata Najib.

Mengambil contoh pemilihan parti pada tahun 1993, Najib berkata terdapat mereka dari pasukan Wawasan yang cuba untuk berbuat demikian dan pada hari ini cuba menunjukkan “moral yang tinggi”.

Katanya, beliau diberitahu oleh Allahyarham Datuk Jamaluddin Jarjis mengenai apa yang berlaku.

“Saya punya jawapan, Allahyarham Tun Abdul Razak bina parti Umno, saya takkan jadi anak yang merosakkan parti,” katanya.

Team Wawasan diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi jawatan timbalan presiden tanpa bertanding.

Pasukan itu juga terdiri daripada Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib. Ketiga-tiga mereka kemudiannya memenangi jawatan naib presiden parti. – Mkini

VIDEO PERINGATAN ZETI TAK MAHU ORANG POLITIK

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share