Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singih hari ini menasihatkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak mencampuri urusan atau tugas peguam negara apabila berkata sebarang maklumat mengenai siasatan oleh pihak berkuasa Switzerland ke atas 1MDB disampaikan melalui saluran rasmi.

Katanya, tindakan itu seolah-olah menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai sesuatu yang mahu disembunyikan kerana tidak ada yang luar biasa atau yang tidak betul apabila sesebuah kerajaan secara terbuka meminta maklumat tertentu.

“Mungkin yang terbaik adalah supaya Zahid tidak mencampuri urusan atau tugas peguam negara,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan pejabat Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber yang berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang komen terhadap kenyataan politik.

“Kenyataan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland adalah yang paling profesional dan dialu-alukan,” kata Ramkarpal.

Pejabat Peguam Negara Switzerland mengulas emel Malaysiakini semalam mengenai jawapan Zahid berhubung permintaan rasmi Lauber untuk bantuan dalam siasatan pihak pejabatnya ke dalam dakwaan salahguna AS$4 bilion dana 1MDB.

Dalam menyatakan rasa tidak puas hatinya, Zahid berkata, adalah tidak wajar bagi pihak berkuasa Switzerland untuk membuat permintaan terbuka untuk mendapatkan bantuan kerana ia boleh menjejaskan hubungan dua hala dan membawa kepada laporan media berat sebelah.

Walau bagaimanapun, Ramkarpal berkata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika negara berdepan dengan masalah jerebu di seluruh negara pada Oktober tahun lalu secara terbuka meminta kerajaan Indonesia untuk bertindak tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikatperladangan daripada mana-mana negara yang sengaja menyebabkan kebakaran hutan.

Katanya, menteri itu tidak membuat apa-apa permintaan kepada Indonesia melalui ‘saluran rasmi’ kerana perkara itu adalah demi kepentingan awam dan memberi kesan kepada kedua-dua negara.

Justeru, menurutnya, kedudukan adalah sama dalam kes 1MDB kerana siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland itu pasti membabitkan kepentingan awam kerana ia melibatkan 1MDB dan syarikat kerajaan Malaysia. – Malaysiakini

Baca: ‘Rahsia hitam’ mungkin tersingkap dari Switzerland

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE