Serpihan pesawat yang dijumpai di pantai Besut di Terengganu bukan daripada pesawat MH370, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata sebuah pasukan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines telah membuat pemeriksaan bagi menentukan asal serpihan itu.

“Pemeriksaan mendapati bahawa serpihan tidak sepadan dengan pesawat Boeing 777, dengan itu mengesahkan bahawa serpihan tersebut bukan daripada MH370,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa berkaitan kerana membantu dalam proses pengecaman itu.

“Kami terus komited kepada usaha mencari MH370, dan akan terus memaklumkan kepada waris keluarga dan orang ramai mengenai apa-apa perkembangan terkini,” kata beliau.

Penemuan objek dipercayai serpihan pesawat di pantai Beting Lintang di Besut Rabu lepas, menimbulkan spekulasi bahawa ia mungkin ada kaitan dengan pesawat MH370 Malaysia Airlines yang hilang hampir dua tahun lepas.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, 2014 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

– Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share