Serpihan pesawat dipercayai bangkai MH370 yang ditemui di pantai Nakhon Si Thammarat di selatan Thailand. – Gambar Skynews

Empat pegawai Malaysia dipercayai daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tiba di Nakhon Si Thammarat hari ini untuk memeriksa serpihan dipercayai daripada bangkai pesawat yang ditemukan di pantai wilayah itu.

Ketua Polis Daerah Pak Phanang, Thanyapat Pattikongsan yang mengesahkan perkara itu berkata, keempat-empat pegawai itu tiba di tempat serpihan itu ditemukan pada 10 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia), dan beredar kira-kira sejam kemudian.

“Mereka (pegawai dari Malaysia) meluangkan kira-kira sejam di kawasan itu, memeriksa serpihan dan mengumpulkan bukti sebelum meninggalkan tempat itu.

“Pegawai berkenaan tidak memberikan butiran mengenai tugas mereka,” katanya di Bangkok hari ini.

Menurutnya, 4 pegawai itu tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Nakhon Si Thammarat, pagi tadi.

Semalam, penduduk tempatan yang tinggal di kawasan pantai di wilayah selatan Thailand itu melaporkan penemuan objek logam besar berukuran 2 meter lebar dan 3 meter panjang, yang dipercayai daripada bangkai kapal terbang. – Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share