Masih tiada pengesahan serpihan yang disyaki milik sebuah pesawat yang ditemukan di pantai selatan Thailand adalah milik pesawat MH370, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sehubungan itu, Liow berkata beliau mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman supaya menghubungi pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat lanjut dan pengesahan.

“Ketika ini ia hanya spekulasi kerana kita belum dapat apa-apa pengesahan daripada Thailand,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi hari ini.

Liow meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dalam hal membabitkan MH370 kerana ia hanya memberi tekanan kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Berdasarkan laporan berita, serpihan yang disyaki bangkai pesawat dijumpai di pantai selatan Thailand.

Serpihan besar kepingan logam melengkung dikatakan terdampar di wilayah Nakhon Si Thammarat, dan penduduk kampung membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk membantu mengenal pastinya.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu belum dijumpai walaupun selepas operasi mencari dijalankan secara menyeluruh di selatan Lautan Hindi iaitu lokasi penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir selepas melencong dari laluan asal.

Pada 29 Januari tahun lepas, kerajaan secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapal dianggap terkorban.

Sementara itu, Liow berkata pencarian MH370 masih tertumpu di selatan Lautan Hindi, yang dibuat berdasarkan cadangan pakar dalam usaha mencari pesawat itu.

“Kita dah jumpa serpihan pesawat di Pulau La Reunion. Kita yakin dengan cadangan daripada pakar kita. Kita sedangkan lakukan pencarian di 60,000km persegi bagi fasa ke-2. Fasa pertama 60,000km persegi dah selesai, kita tak jumpa apa-apa. Harap kita dapat habiskan fasa (ke-2) ini dalam masa beberapa bulan lagi. Fokus kita adalah kepada serpihan pesawat yang kita jumpa,” katanya.

Pada 29 Julai 2015, sekeping bahagian flaperon pesawat itu ditemukan di Pulau Reunion, sebuah pulau kecil milik Perancis di Lautan Hindi, dan dihantar ke Perancis untuk analisis selanjutnya.

Pada 6 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan sebahagian daripada flaperon yang ditemukan di pulau itu adalah milik pesawat MH370.

Terdahulu, Liow menghadiri majlis menyambut ketibaan penerbangan pertama AirAsia dari Guangzhou, China ke Langkawi, yang disempurnakan Najib. – Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share