Wanita OKU (kiri) meraih simpati ramai dengan mengemis walaupun miliki kereta jenis Perodua Myvi.

KOTA BHARU – Walaupun mempunyai kenderaan jenis Perodua Myvi dan menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) berstatus janda sanggup berpakaian lusuh bagi meraih simpati dengan mengemis di sekitar kawasan bandar ini.

Namun, kegiatan licik wanita berusia 43 tahun itu akhirnya berjaya dikesan dan dia ditahan pegawai JKM ketika wanita itu sedang menjalankan aktiviti meminta sedekah di Pasar Pasir Tumboh di sini semalam.

Wanita anak lima itu, sudah acap kali ditahan dalam tiga siri serbuan sebelum ini termasuk di Melor, Pengkalan Chepa dan terbaru di Pasir Tumboh.

Kegiatannya berjaya dikesan sekali lagi, selepas pegawai berjaya mengecam identiti wanita itu yang dalam dua serbuan lalu turut memakai pakaian, seluar dan tudung kepala yang sama termasuk pada serbuan semalam.

Menurut wanita itu yang dikenali sebagai Fatimah, dia terpaksa meminta sedekah setelah tidak mempunyai cukup perbelanjaan untuk menanggung dua anaknya yang masih bersekolah di tingkatan 1 dan tahun 5.

“Suami sudah lama tinggalkan saya yang digantung tidak bertali dan tanggungjawab besarkan anak terserah sepenuhnya pada saya.

“Memang ada anak sulung bantu, memandangkan dia ada belikan kereta pada saya, dan segala perbelanjaan untuk kereta itu, dia yang tanggung. Namun ekoran terdesak saya terpaksa meminta sedekah, lagipun saya tidak mempunyai pendapatan lain dan hanya berharap pada bantuan bulanan JKM,” katanya.

Fatimah berkata, kegiatannya itu tidak diketahui anak-anaknya memandangkan tidak mahu pekerjaan dan pembelajaran anaknya terganggu.

“Saya pilih jalan mudah untuk dapatkan wang, sebab saya tidak tahu cara nak tambahkan pendapatan.

“Apa pun kali ini saya memang serik setelah dikesan mengemis kali ketiga dan ditahan untuk tindakan lanjut, saya janji mulai hari ini (semalam) saya tidak akan mengemis lagi dan akan tumpukan jaga anak-anak dan cuba berniaga untuk mencari punca pendapatan,” katanya.  – Sinar Harian

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share