Laporan terbaru pihak berkuasa Australia berkata pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang tahun lalu mengalami masalah gangguan elektrik secara tiba-tiba sebelum ia terbang seperti zombie di ruang udara Lautan Hindi, menurut portal berita Amerika Syarikat.

Dalam pemberitahuan rasmi pertama selepas pelbagai spekulasi mengenai nasib pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang tahun lalu, laporan terbaru pihak berkuasa Australia berkata Boeing 777 itu mengalami masalah gangguan elektrik secara tiba-tiba sebelum ia terbang seperti “zombie” di ruang udara Lautan Hindi, menurut portal berita Amerika Syarikat.

“Ia perakuan rasmi pertama mengenai apa yang menjadi spekulasi sebelum ini iaitu terputus tenaga elektrik secara tiba-tiba yang mampu melumpuhkan sistem utama.

“Selain menggambarkan krisis kawalan secara tiba-tiba dialami dalam kokpit, laporan itu melemahkan teori menganggap juruterbang terbabit bermasalah – mereka mungkin bertungkus lumus dalam kepayahan mengawal penerbangan, bukannya menjadi punca pesawat itu mengalami masalah.”

Sebelum terputus bekalan elektrik, anak kapal dikatakan berjaya berhubung dengan pengawal trafik udara dan kapal terbang itu secara automatik menghantar kedudukannya.

Selepas itu, tidak ada komunikasi lagi daripada juruterbang terbabit; dan transponder, yang menghantar maklumat berkenaan kedudukan pesawat, dan satu sistem automatik berasingan yang melaporkan keadaan kritikal sistem pesawat pada setiap setengah jam, kedua-dua dilaporkan berhenti berfungsi.

Laporan biro itu menguatkan keyakinan carian dasar laut MH370, yang hilang pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sedang dijalankan di kawasan yang betul dan mempunyai peluang tinggi untuk berjaya.

Penerbangan dengan 239 penumpang dan anak kapal itu, yang sepatutnya sampai ke destinasinya selepas 5 jam setengah, dilaporkan berakhir 7 jam dan 38 minit kemudian, di satu kawasan di selatan Lautan Hindi.

Menurut The Daily Beast, laporan Australia itu memberi 4 sebab yang mungkin menyebabkan putus tenaga elektrik – pertama, kegagalan secara tiba-tiba yang mengaktifkan Unit Tenaga Tambahan (APU) pesawat bagi mengembalikan tenaga kecemasan.

Kemungkinan kedua ialah sesuatu dilakukan di kokpit menggunakan suis “overhead”; ketiga, seseorang yang mengakses Pusat Peralatan Utama di bawah dek penerbangan, menarik pemutus litar dan kemudian memasangnya semula; dan akhir sekali, kegagalan teknikal yang kadang-kala berlaku.

Mengenai teori konspirasi yang menyalahkan juruterbang, portal itu memetik seorang pakar Boeing 777 yang tidak dinamakan sebagai berkata, ia “sangat tidak mungkin, malah tidak masuk akal”.

Pakar itu berkata tidak ramai juruterbang tahu bagaimana untuk pergi ke dek bawah semasa penerbangan atau mencari pemutus litar yang boleh menjejaskan penerbangan.

Laporan itu boleh menyokong teori yang kebakaran mungkin menghapuskan banyak sistem dalaman MH370, menyebabkan juruterbang tidak dapat mengawal pesawat tetapi membiarkannya terus terbang sehingga ia kehabisan bahan api, kata The Daily Beast.

Ia tidak menyatakan dengan tepat bila MH370 terputus tenaga elektrik, tetapi ia mungkin terjadi dalam tempoh 56 minit antara transmisi terakhir mengikut sistem komunikasi pesawat ACARS dan percubaan tidak berjaya penghantar(dispatcher) pesawat menghubungi anak kapal. – TMMI

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share