Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan peluang berucap semasa perhimpunan agung parti pada 8 hingga 12 Disember depan. – Gambar FMT

Harapan itu dizahirkannya sewaktu mengulas tindakan Majlis Tertinggi (MT) yang memutuskan Muhyiddin tidak merasmikan persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Kalau dia (Muhyiddin) hendak bercakap, saya harap speaker bagi peluang dia bercakap.

“Kalau tak kita jangan bercakap pasal demokrasi.

“Kalau nak puji (presiden Umno) Datuk Seri Najib (Razak) saja baru bercakap, ini bukan lagi parti Umno,” katanya pada sidang media selepas acara penutup KL Summit 2015 di Kuala Lumpur pagi ini.

Baru-baru ini Umno memutuskan persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri akan datang dirasmikan ketua sayap sahaja.

Keputusan itu sekali gus melenyapkan peluang Muhyiddin berucap dan merasmikan sidang sayap-sayap itu selaku timbalan presiden – satu kebiasaan dalam perhimpunan agung.

Keputusan itu dicapai MT Umno sewaktu Muhyiddin tidak menghadiri mesyuaratnya pada 25 November lalu.

Menurut Dr Mahathir, sewaktu menjadi presiden Umno, mereka yang tidak bersetuju dengannya mempunyai ruang seluas-luasnya dalam parti sehingga boleh mencabar jawatan presiden.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya wartawan jika terdapat sebarang persamaan di antara situasi di dalam Umno sekarang dengan pemilihan Umno 1986.

“Kalau betul ada krisis dalam Umno pada masa itu, tiada siapa dilarang daripada bercakap.

“Ada orang yang hendak bertanding dengan saya pun boleh dan tiada siapa dilarang berkempen.

“Ini saya tak boleh berjumpa ahli Umno, tak boleh bercakap dengan menteri Umno, tak boleh bercakap dengan orang Umno,” katanya.

Mengulas tindakan beberapa ketua cawangan yang sejak akhir-akhir ini mula bersuara mendesak Najib meletak jawatan, Dr Mahathir berkata perkara itu berlaku kerana ketua-ketua bahagian tidak lagi bersuara mewakili akar umbi.

“Kita dapati ketua-ketua bahagian dah jadi bisu, bila yang bisu tak boleh bercakap, orang yang boleh bercakap, bercakaplah.

“Ini ahli tak boleh bercakap, orang itu tak boleh bercakap, orang ini tak boleh bercakap, ini demokrasi apa?” katanya lapor The Malaysian Insider.

Baca: Muhyiddin sedia dipecat Umno, enggan bersubahat tanggung dosa jika senyap

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share