Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan menimbang untuk memansuhkan penggunaan lafaz taklik cerai di Kelantan. – Gambar Sinar Harian

PAS tidak menolak kemungkinan akan memansuhkan penggunaan lafaz taklik cerai talak tiga ke atas isteri yang dikenakan kepada wakil rakyat di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada pertimbangan yang akan dibuat dengan melihat keadaan semasa parti itu di Kelantan.

“Taklik ini khusus untuk (wakil rakyat) Kelantan, ia diperkenalkan apabila pada 1995, ketika PAS bersama Semangat 46. Waktu itu kita hanya tinggal satu kerusi lebih (dan) terdapat usaha pihak lawan untuk membeli wakil-wakil rakyat melalui politik wang.

“Kelantan negeri kita memerintah, kita lihat ia sudah kukuh, wakil rakyat kita pun sudah istiqamah, calon-calon kita pun sudah bermutu dan bernilai berbanding dahulu,” katanya di Kota Baru semalam.

Hadi bagaimanapun berkata sumpah bai’ah yang menjadi teras perjuangan parti itu akan dikekalkan dan diteruskan dalam PRU akan datang.

“Alhamdulillah kita dapati wakil-wakil rakyat kita kini konsisten dan istiqamah, taklik ini kemungkinan akan dibuang, bai’ah diteruskan kerana ia teras yang penting.”

Ditanya mengenai dakwaan ramai berminat menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang diketuai bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, Hadi berkata mana-mana pihak boleh membuat dakwaan tersebut.

“Sehingga kini tak ada sebaliknya apa yang kita dengar, di peringkat negeri ramai yang kembali kepada PAS.” – Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share