Penemuan kepingan sayap pesawat, flaperon di kawasan berhampiran Lautan Hindi disahkan milik MH370 berdasarkan rekod penyelenggaraan. – Gambar Astro Awani

Bekas ketua juruterbang serantau Malaysia Berhad Kapten Datuk Nik Amad Huzlan Nik Hussain berkata dakwaan penemuan sebuah bangkai pesawat yang dipercayai MH370 di kepulauan Tawi Tawi, Filipina tidak masuk akal katanya menurut Sinar Harian.

Beliau yang kekal sependapat dengan teori pesawat Malaysia Airlines (MAS) berkenaan berakhir di Lautan Hindi itu mempersoalkan jika benar ia dijumpai di Tawi Tawi, mengapa tiada sebarang gambar pesawat tersebut diambil.

“Teori berkenaan (MH370 berakhir di Lautan Hindi) turut dikuatkan dengan penemuan kepingan sayap pesawat iaitu flaperon dan disahkan milik MH370 berdasarkan rekod penyelenggaraan.

“Jika ditemui di kepulauan Tawi Tawi, ia memang tidak masuk akal kerana teori dan bukti cukup kuat untuk dikatakan ia berakhir di Lautan Hindi,” katanya dipetik berkata kepada akhbar itu.
Mengulas lanjut mengenai laporan tersebut, katanya laporan polis itu boleh dibuat mana-mana individu.

“Soal betul atau tidak, kita akan dapat ketahui selepas siasatan dibuat pihak berkuasa. Ini zaman teknologi tanpa sempadan, mana-mana orang pergi bawa telefon pintar. Kalau pun betul, mengapa tidak ada gambar pesawat itu?,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan individu terbabit tidak melaporkan penemuan bangkai pesawat tersebut kepada polis Filipina.

“Kerajaan Filipina pun tidak umumkan mengenai penemuan bangkai pesawat yang dipercayai MH370.

“Apa-apa dakwaan mengenai MH370 tidak akan mengubah kisah MH370 yang berakhir di Lautan Hindi,” katanya.

mh370 ditemui filipina
Sehelai bendera Malaysia berukuran 178cm panjang dan 89cm lebar yang diserahkan kepada polis.

Semalam dilaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengulas laporan polis yang dibuat seorang Jamil Omar di Balai Polis Sandakan yang mendakwa ibu saudaranya menemui bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi Tawi di Filipina awal September lepas.

Dalam laporan itu, lelaki berkenaan turut mendakwa wanita itu menemui banyak rangka manusia dalam pesawat terbabit selain menjumpai sehelai bendera Malaysia berukuran 178cm panjang dan 89cm lebar.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Mengulas lanjut, Khalid berkata laporan yang dibuat pengadu itu tidak disertakan sebarang gambar. – TMI

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share