Polis Malaysia akan menyiasat dakwaan penemuan bangkai pesawat dipercayai MH370 di selatan Filipina

Sabah: Seorang wanita bertindak sebagai pengadu mendakwa, ibu saudaranya Siti Kayam telah menemui satu bangkai kapal terbang di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi, Filipina

Polis Sabah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bangkai pesawat di kepulauan di selatan Filipina.

Ketua Polis Sabah, Datuk Jalaludin Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu malam, mengesahkan laporan itu diterima dan siasatan akan dijalankan.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sandakan oleh seorang lelaki bernama Jamil Omar pada Jumaat.

Menurut Jalaludin, pengadu mendakwa, ibu saudaranya Siti Kayam telah menemui satu bangkai kapal terbang di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi.

“Pengadu mendakwa, ibu saudaranya telah memasuki bangkai pesawat itu dan melihat terdapat banyak rangka manusia dan telah menemui sehelai bendera Malaysia berukuran 70 inci panjang dan 35 inci lebar,” katanya.

Justeru, katanya, Cawangan Khas Polis akan mengambil keterangan daripada pengadu bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai perkara itu.

mh370 sugbay philippines

Beliau bagaimanapun, menegaskan, sama ada maklumat itu benar atau tidak, ia belum dapat dipastikan setakat ini.

Dalam laporan itu, lelaki berusia 40-an itu mendakwa ibu saudaranya yang berasal dari Tawi-Tawi itu menemui bangkai pesawat berkenaan yang dipercayai MH370 di pulau itu pada awal September lepas.

Pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pasukan penyiasat Perancis sebelum ini mengesahkan serpihan yang dikenali sebagai ‘flaperon’ yang dijumpai di pantai Pulau Reunion adalah milik pesawat MH370 yang hilang 8 Mac 2014.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share