Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membantu membalut luka yang dialami wartawan Malaysiakini yang mengalami kecederaan ringan di lengannya selepas terjatuh dari motosikalnya.

Dalam video yang dimuat naik oleh Kwong Wah Daily, Hamzah memberitahu wartawan tersebut, Adrian Wong, bahawa ini merupakan hari yang tidak akan dilupainya.

“Awak akan sentiasa ingat saya selepas ini, bahawa saya kawan awak. Saya tak bercakap buruk tentang awak, tetapi tentang Malaysiakini,” kata menteri itu berseloroh.

Wong memberitahu Malaysiakini bahawa dia terjatuh dari motosikalnya di sebuah bulatan di Shah Alam, ketika mengekori Hamzah dari satu lokasi ke lokasi lain.

Kemalangan itu tidak mematahkan semangatnya dan wartawan itu meneruskan perjalanannya ke pasar di mana Hamzah berada untuk bertanya lebih banyak soalan.

Menteri itu bagaimanapun pada mulanya enggan melayannya.

“Jadi saya beritahu beliau ‘Aiya, saya jatuh motosikal mengejar Datuk, Bagilah saya tanya beberapa soalan. Selepas itu beliau bertanya apa yang terjadi pada saya dan mula melihat luka saya,” kata Wong (foto)

Beliau kemudian terus bertanya soalan kepada Hamzah.

Wong ingin tahu sama ada Hamzah ternampak sebarang barangan palsu di Jalan Petaling.

Ia berkaitan dengan amaran Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos bahawa akan ada rusuhan di Jalan Petaling kerana orang Melayu tidak berpuas hati, antara sebabnya, dengan barangan palsu yang dijual di sana.

Selepas mengenakan kain pembalut luka pada siku Wong, wartawan dan menteri itu bersalaman sebelum beredar.

“Saya berterima kasih kepada menteri. Tetapi harapan saya beliau akan memberi tumpuan kepada soalan-soalan saya dan bukannya kecederaan saya,” kata Wong. – Mkini English

Baca: SAYA DAH JANGKA KEPUTUSAN MAHKAMAH KES NAJIB, KATA ANINA

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share