1MDB hari ni menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad ‘terlupa fakta’ termasuk yang dibekalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Gambar Free Malaysia Today / Bloomberg

1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menuduh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus-menerus “mengguna semula dan mengitar semula tuduhan basi dan tidak terbukti” terhadap syarikat bermasalah itu, yang menurutnya berulang kali dibuktikan salah.

“1MDB kesal Dr Mahathir asyik terlupa fakta, bukan sahaja dari 1MDB tetapi juga dari agensi bebas dan dihormati seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagaimanapun, 1MDB komited untuk terus memberi respons bagi membantu Dr Mahathir, bekas ahli politik veteran, mengingati jawapan kami yang berasaskan fakta,” katanya dalam satu kenyataan mengulas entri terbaru di blog bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.

Semalam, Dr Mahathir dalam tulisannya mengulangi dakwaan Putrajaya memberi modal RM1 juta kepada syarikat sarat hutang itu, tetapi 1MDB meminjam RM42 bilion daripada pasaran dan terpaksa membayar kadar faedah yang lebih tinggi pada 5.9%.

Beliau turut mendakwa, 1MDB membeli tanah kerajaan pada RM60 setiap kaki persegi ketika harga pasarannya lebih RM3,000 sekaki persegi.

Menyangkal bekas perdana menteri yang kini merupakan pengkritik tegar syarikat itu, 1MDB berkata Dr Mahathir “dengan mudah melupakan” yang ia 100% dimiliki kerajaan Malaysia dan oleh itu, sebarang kenaikan dalam nilai tanah, secara langsung dan semata-mata, hanya akan menguntungkan kerajaan.

“Selain memetik nilai tanah yang lebih rendah pada RM3,000 setiap kaki persegi sekarang (berbanding RM7,000 setiap kaki persegi dalam dakwaan beliau sebelumnya), Dr Mahathir lupa mengakui 1MDB meletakkan komitmen RM3 bilion untuk pembangunan infrastruktur di TRX (Tun Razak Exchange),” kata 1MDB.

“Ini bersamaan dengan kira-kira RM1,500 perbelanjaan infrastruktur untuk setiap kaki persegi, yang dibayar oleh 1MDB, dan kemudiannya diperolehi kembali melalui jualan tanah.”

Mengenai hutang RM42 bilion 1MDB, firma milik Kementerian Kewangan itu berkata, ia sebelum ini menjawab yang semua wang itu mempunyai perkiraannya dan pernah memberikan pecahan yang komprehensif bagaimana hutang itu digunakan.

“Dr Mahathir juga mengulangi dakwaan lamanya yang 1MDB memindahkan dana ke akaun peribadi perdana menteri.

“Beliau seharusnya sedia maklum, wang itu sudah dijelaskan oleh badan bebas SPRM pada 3 Ogos 2015 sebagai sumbangan penderma persendirian, dan bukan dari 1MDB,” katanya. – TMI

Note: Here are interesting bits of information about that relationship as drawn from Bloomberg’s latest report, “The Scandal That Ate Malaysia” [click]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share